Firdaus Wong buat laporan polis

|

views

Selepas terpalit dengan dakwaan menyebarkan video dan gambar lucah seorang pendakwah terkenal melalui Telegram, Pengasas Multiracial Reverted Muslim Malaysia (MRM) Firdaus Wong membuat laporan polis.

Menurut pendakwah bebas itu, beliau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju petang tadi bagi membuat laporan terhadap fitnah yang menimpa dirinya sejak beberapa hari lalu.

Katanya, laporan tersebut dibuat bagi membersihkan namanya daripada fitnah berkenaan.

“Alhamdulilah, selesai membuat laporan polis tentang fitnah yang disebarkan kononnya sayalah pengasas dan pemilik Telegram channel yang menyebarkan video serta gambar lucah.

“Saya menafikan fitnah tersebut!,” tegasnya hari ini.

Menurut Firdaus, beliau hanya memiliki satu Telegram rasmi sahaja yang boleh diakses di pautan https://t.me/brofirdauswong.

Beliau juga menafikan sebarang fitnah yang mengaitkan dirinya dengan penyebaran sebarang video dan gambar lucah.

“Saya akan memaafkan mereka yang memaki-hamun, menyindir, mengejek atau menghina saya tetapi saya tidak akan mendiamkan diri apabila saya difitnah.

“Saya sayangkan sahabat semua maka saya tidak mahu sahabat semua melakukan dosa fitnah tanpa disedari akibat perbuatan tidak bertanggungjawab mereka yang menyebarkan fitnah tersebut,” katanya.

Nama Firdaus Wong menjadi bualan warga maya selepas tampil mendedahkan beberapa keping tangkap layar perbualan yang berunsur tidak senonoh didakwa membabitkan seorang pendakwah terkenal.

Beliau juga dilihat agresif dalam mempertahankan mangsa gangguan seksual membabitkan individu yang amat disanjungi dan dihormati di negara. – Getaran, 2 Oktober 2021

Berkaitan ⇢