210 kes baharu dikesan, 2 anak damit dilahirkan

|

views

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT–Sebanyak 210 lagi kes baharu jangkitan COVID-19 dicatatkan di negara ini hari ini, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 di negara ini kepada 7,326 orang.

Sementara itu, terdapat 49 tambahan kes baharu kepada 17 kluster aktif sedia ada, yang merupakan kontak-kontak terdekat kepada beberapa kes positif sebelumnya.

Perkara tersebut telah dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, pada hari ini yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.

Turut hadir pada sidang media tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan kemudiannya mengongsikan bahawa terdapat tujuh kluster baharu telah dikesan yang membawa kepada jumlah kluster aktif sebanyak 125 kluster.

“Kluster-kluster ini ialah Kluster 7110 yang mengandungi 21 kes; Kluster 6602 mengandungi tiga kes; Kluster 6597 yang mengandungi empat kes; Kluster 7068 mengandungi lapan kes; Kluster 6839 yang mengandungi lapan kes; Kluster Pasar Gadong yang mengandungi dua kes; manakala empat kes telah dikesan setakat ini berikutan operasi mass swabbing yang dijalankan di kawasan Bukit Beruang pada 29 September 2021,” jelas Yang Berhormat Dato.

Sementara itu, terdapat 111 kes baharu yang masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.

“Dalam pada itu, 168 kes telah disahkan sembuh pada hari ini yang membawa jumlah kes yang sembuh di Negara Brunei Darussalam kepada 5,043 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 2,233 kes,” tambah Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Dalam kalangan kes-kes yang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan, menurut Yang Berhormat Dato, tujuh kes adalah dalam kategori 5 dan sedang dirawat di Unit Rawatan Intensif.

“Kesemua mereka memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation) dengan satu kes masih memerlukan bantuan mesin tambahan heart-lung machine (ECMO),” katanya. Sementara itu, 30 kes lain dikategorikan dalam kategori 4 iaitu yang memerlukan bantuan oksigen dan adalah di bawah pemantauan rapi.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan turut mengongsikan bahawa setakat kelmarin (30 September) sehingga pagi tadi, Pusat Pengasingan Kebangsaan telah mencatatkan dua kelahiran anak damit bagi dua kes positif COVID-19 dan kesemua ibu dan anak dalam keadaan yang baik. Manakala dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 5,271 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 361,082 ujian.

“Di kesempatan ini, saya ingin mengingatkan orang ramai untuk mematuhi segala arahan yang telah dikeluarkan bagi mengawal penularan wabak COVID-19.

“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak keluar rumah tanpa tujuan yang penting dan jika perlu keluar rumah untuk tidak pergi ke tempat-tempat sesak serta mengamalkan penjarakan sosial,” tambah Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Selain itu, beliau menegaskan untuk sentiasa mengamalkan langkah-langkah keselamatan diri seperti memakai pelitup muka dan membersihkan tangan.

Berkaitan ⇢