Teranah di rumah, hindari kompaun

|

views

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OKT – Orang ramai diingatkan untuk mematuhi arahan kekal di rumah masing-masing pada setiap malam daripada jam 8 malam sehingga 4 pagi bermula esok (4 Oktober) dan sesiapa yang didapati melanggar arahan tanpa alasan munasabah boleh dikenakan denda kompaun $100 seorang bagi setiap kesalahan.

Perkara itu ditekankan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar (gambar) pada sidang media situasi terkini jangkitan COVID-19 di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

Menurut Yang Berhormat Dato, ia bertepatan dengan peruntukan Bab 62A Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204, berdasarkan kenyataan media Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua pada 1 Oktober yang menetapkan agar orang ramai kekal di rumah masing-masing sehingga 17 Oktober kelak.

“Pengecualian hanya diberikan atas urusan-urusan kecemasan dan mendesak atau mereka yang menjalankan kerja sebagai petugas kritikal (critical frontline workers) sahaja, termasuk pekerja-pekerja syif,” jelas Yang Berhormat Dato.

“Sesiapa yang didapati melanggar arahan ini tanpa ada alasan yang munasabah boleh dikenakan denda kompaun sebanyak $100 seorang bagi setiap kesalahan,” tegas Yang Berhormat Dato.

Sehubungan itu, Yang Berhormat Dato menyeru orang ramai mematuhi segala arahan dikeluarkan bagi mengawal penularan wabak COVID-19.

“Teranah di rumah dan jangan keluar rumah tanpa tujuan yang penting. Marilah kita berganding bahu dalam sama-sama membantu kerajaan untuk memulihkan semula keadaan negara daripada jangkitan COVID-19, demi kebaikan dan kesejahteraan kitani dan orang-orang yang kitani sayangi.

“Semoga usaha kitani akan mendapat keberkatan daripada Allah SWT dan kita akan sama-sama menikmati hasil kerjasama segenap lapisan masyarakat ini, Insya Allah. Aamiin Aamiin Ya Rabbal Alamin,” kata Yang Berhormat Menteri Kesihatan di hujung kenyataannya.

 

Berkaitan ⇢