Statistik Kadar Jenayah Klang Mengelirukan, Tidak Tepat Sama Sekali – Arjunaidi

|

views

Data dari statistik yang dikeluarkan sebuah badan tinjauan antarabangsa berhubung tahap keselamatan di Klang disifatkan sebagai amat mengelirukan dan tidak tepat sama sekali.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, antara lain tinjauan itu mengklasifikasikan Klang sebagai bandar yang memiliki kadar jenayah tertinggi dan tahap keselamatan terendah antara semua negara ASEAN.

Menurut beliau, maklumat yang terkandung dalam artikel itu berkaitan indeks jenayah (crime index) dan indeks keselamatan (safety index) tidak dapat dipastikan kesahihan serta sumbernya.

“Pihak polis ingin memaklumkan kepada masyarakat bahawa berita yang disiarkan adalah mengelirukan dan tidak benar sama sekali.

“Kaedah kajian secara kualitatif dan kuantitatif serta bilangan responden juga tidak menggambarkan atau mewakili keseluruhan masyarakat di daerah Klang,” katanya di sini.

Arjunaidi berkata, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Selangor mulai dari 1 Januari hingga 30 September lalu mendapati, jenayah kekerasan di daerah berkenaan melebihi nilai ambang sebanyak 31.76 kes atau bersamaan dengan 6 peratus.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas tinjauan dibuat sebuah
badan antarabangsa, dikenali sebagai Numbeo.

Menurut Numbeo, data menunjukkan bahawa Klang adalah bandar paling tidak selamat di Asia Tenggara dan keempat paling tidak selamat di Asia dengan kadar jenayahnya yang mencapai 68.22 peratus.

Mengulas lanjut, Arjunaidi berkata, jenayah harta benda pula bagi tempoh sama merekodkan nilai ambang iaitu 195.44 kes atau bersamaan dengan 13 peratus.

Beliau berkata, secara keseluruhannya, sepanjang tempoh berkenaan daerah Klang berada di bawah nilai ambang iaitu sebanyak 163.68 kes atau bersamaan dengan 8 peratus.

“Justeru, orang ramai dinasihatkan tidak gusar atau bimbang dengan laporan dikeluarkan laman sesawang itu kerana ia tidak menggambarkan statistik dan fakta sebenar kejadian jenayah yang berlaku di daerah Klang,” katanya. – Getaran, 4 Oktober 2021

Berkaitan ⇢