Upah baiki tandas punya pasal, pukul rakan hingga mati sebab tak puas hati

|

views

KOTA BHARU: Hanya disebabkan perselisihan faham mengenai bayaran upah membaiki tandas, seorang buruh binaan warga Kemboja dipukul hingga mati dalam kejadian di Kampung Penambang, Kota Bharu, Kelantan.

Mangsa, Sovann Arozak, 40, cedera di kepala akibat dipukul oleh rakan senegaranya dengan objek tumpul, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), 11 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Abdul Rahim Daud, berkata suspek berusia 29 tahun berjaya ditahan di Kampung Bukit Marak pada 11.20 pagi, hari ini.

“Kejadian berlaku pada 10.45 malam kelmarin di rumah mangsa di Kampung Penambang dan mangsa yang cedera dibawa dengan ambulans ke HRPZ II.

“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca akibat perselisihan faham antara mangsa dan suspek mengenai bayaran upah bagi pembaikan tandas sebelum berlaku pergaduhan itu.

“Perselisihan faham berlaku disebabkan upah tandas yang dibina mangsa, menyebabkan suspek tidak berpuas hati sebelum bertindak memukul lelaki itu,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Katanya, saringan ujian air kencing ke atas suspek didapati negatif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Berkaitan ⇢