Lelaki mohon perintah mahkamah dapatkan vaksinasi COVID-19 untuk anak perempuan

|

views

SINGAPURA: Seorang lelaki memfailkan satu permohonan mahkamah bagi membolehkan anak perempuannya yang berusia 16 tahun untuk mendapatkan vaksin COVID-19. Ini setelah bekas isterinya, yang mempunyai hak penjagaan bersama ke atas remaja itu, “menentang keras” pengambilan vaksin.

Pihak-pihak terlibat dalam kes ini tidak boleh didedahkan nama mereka kerana anak mereka masih bawah umur.

Menurut saman awal, lelaki itu memohon satu perintah mahkamah untuk membenarkan anak perempuannya divaksin dan bekas isterinya akan menanggung kos bagi permohonannya itu.

Dalam dokumen Mahkamah Keadilan Keluarga seperti yang dilihat oleh Mediacorp, lelaki dan defendan berkahwin pada 2003 di Singapura. Lelaki itu adalah penduduk tetap Singapura dan bekas isterinya adalah rakyat Singapura.

Lelaki itu memfailkan perceraian pada 2015 setelah tinggal berasingan daripada isterinya selama tiga tahun. Pasangan itu diberikan hak penjagaan bersama ke atas anak perempuan mereka di bawah syarat-syarat penghakiman sementara.

Sedari itu, lelaki berkenaan sudahpun mendirikan rumah tangga yang baru.

Dalam afidavit lelaki itu, beliau menulis bahawa tidak ada sebarang masalah dengan hak penjagaan, penjagaan dan kawalan sehinggalah baru-baru ini.

“Saya divaksin dan saya mahu (anak perempuan saya) divaksin juga,” tulisnya.

“Ini terutamanya selepas Pemerintah mengumumkan dasar semasa untuk hidup dengan virus itu, ditambah dengan lonjakan pada jumlah kes COVID-19 baru-baru ini di Singapura.”

Kebanyakan rakan sedarjahnya sudahpun divaksin, tulis lelaki itu dalam afidavitnya.

Beliau berkata beliau yakin ia adalah demi kepentingan terbaik anak perempuannya untuk divaksin terhadap COVID-19 tetapi bekas isterinya “membantah dengan keras” hal ini.

Menurut lelaki itu lagi, pasangan tersebut sudahpun mengadakan banyak perbincangan berhubung isu itu tetapi tidak dapat menghuraikannya secara baik.

“Saya tiada pilihan lain selain untuk memohon kepada mahkamah untuk mengubah perintah persetujuan bagi membenarkan saya diizinkan untuk membuat keputusan memvaksin (anak perempuan saya), tulisnya lanjut.

Lelaki itu diwakili oleh peguam Chung Ting Fai.

SURAT OLEH ANAK PEREMPUAN

Afidavit itu dilampirkan bersama sepucuk surat oleh anak perempuan lelaki itu, di mana dia meluahkan keinginannya untuk mendapatkan vaksin COVID-19.

“Oleh kerana jumlah kes dalam masyarakat meningkat sejak beberapa minggu kebelakangan ini, saya mejadi lebih prihatin tentang kesihatan saya dan orang di sekeliling saya,” tulis remaja itu.

“Saya mahu mengebalkan diri saya terhadap virus itu jadi sekalipun jika saya dijangkitinya, peluang untuk jatuh sakit teruk dapat dikurangkan.”

Dia juga menambah beberapa dorongan peribadi untuk mendapatkan vaksin seperti harapannya untuk membuat perjalanan ke luar negara serta menjalani kehidupan sosial dan keluar makan serta menonton wayang.

Setakat pagi Rabu (6 Okt), ibu remaja itu belum lagi memberikan respons kepada tindakan mahkamah.

– CNA/FZ/fz

Berkaitan ⇢