Mayat Terakhir Bot Karam Ditemui Terapung

|

views

KUCHING – Mayat Awang Omar Awang Hamsawi, 59, mangsa terakhir tragedi bot karam di Pulau Satang ditemukan petang tadi, ketika Operasi Mencari dan Menyelamat memasuki hari kelima. 

Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Kuching menerima panggilan dari sebuah bot pemancing yang memaklumkan penemuan satu objek terapung pada jam 4.22 petang.

Menurut beliau, mayat pembantu tekong itu ditemui pada jarak 3.7 batu nautika dari lokasi kejadian.

“Mayat berkenaan dibawa oleh pasukan penyelamat ke jeti Telaga Air dan diserahkan pada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya hari ini.

Lokasi di mana mayat Awang Omar ditemui.
Lokasi di mana mayat Awang Omar ditemui.

Beliau berkata, pengesahan mayat telah dilakukan oleh pasukan Forensik PDRM bersama waris di Hospital Umum Sarawak (HUS) dan kad identiti turut ditemui pada mangsa.

“Maritim Malaysia mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa dan semoga segala urusan dipermudahkan.

“Kita merakamkan penghargaan terima kasih kepada semua agensi sahabat yang terlibat dalam operasi ini, petugas dari pelbagai jabatan dan agensi serta komuniti maritim tempatan,” ujarnya.

Zin Azman turut menasihatkan komuniti maritim agar tidak turun ke laut buat masa sekarang memandangkan keadaan cuaca yang kurang baik, susulan peralihan Monsun Timur Laut bermula dari Oktober ini hingga Mac 2022.

Dalam kejadian Sabtu lalu, sembilan termasuk tekong selamat, manakala seorang lagi hilang selepas bot yang dinaiki ketika pergi memancing karam berdekatan perairan Pulau Satang.

Mangsa yang selamat ialah lapan pemancing iaitu Amri Abdullah, Mohd Asri Ibrahim, Muhammad Redzuan Rasul, Zaharudin Yusoff, Mohamad Faris Azizan, Mohd Sahrin Sahir, Mohd Firdaus Mohd Denan, Rais Yahya dan tekong bot dikenali sebagai Baki.

Berkaitan ⇢