Kereta terbakar, pasangan suami isteri muda maut

|

views

ALOR SETAR – Sepasang suami isteri maut setelah kereta Perodua Myvi dinaiki mereka terbakar akibat kemalangan di lampu isyarat berdekatan Tesco Mergong dekat sini, awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira jam 3.11 pagi.

Katanya, ketika bomba tiba di lokasi kejadian, didapati api sedang marak dengan hampir keseluruhan kenderaan itu terbakar.

“Api berjaya dipadamkan pada jam 3.25 pagi namun akibat kenderaan kereta yang teruk terbakar dan mengalami kerosakan, pemandu serta penumpang kenderaan itu hanya dapat dikeluarkan pada jam 4.55 dan 4.59 pagi.

“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan mayat mereka kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pemandu Myvi tersebut merupakan seorang remaja berusia 21 tahun dikenali sebagai Lim Gi Ying manakala penumpang kenderaan itu pula adalah isterinya, Tan Sun Wen, 19.

Katanya, siasatan awal mendapati kereta itu terbabas ketika menghampiri lampu isyarat menyebabkannya melanggar tiang papan tanda yang berada di kiri jalan.

“Ekoran dari itu, kereta tersebut kemudiannya kembali memasuki jalan utama dan terhenti di situ sebelum terbakar hingga menyebabkan kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Getaran 7 Oktober 2021.

Berkaitan ⇢