PRN Melaka: KKM terima apa sahaja keputusan jemaah menteri

|

views

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) akan membentangkan pendirian berhubung pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dalam Mesyuarat Kabinet yang berlangsung esok.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, KKM sudah memaklumkan pendirian mengenai PRN itu dalam Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik semalam.

“Kita akan bincang sekali lagi dalam mesyuarat Jemaah Menteri esok. Ini bukan sahaja melibatkan faktor kesihatan tetapi soal perundangan dan Perlembagaan.

“Kita ambil maklum apa sahaja keputusan Jemaah Menteri dan KKM akan sediakan apa sahaja prosedur operasi standard (SOP) yang diperlukan jika ia diteruskan.

“Kalau tidak diteruskan, kita ada masa lagi untuk menunggu,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan rasmi di Hospital Kuala Lumpur, petang tadi.

Kemelut politik Melaka tercetus selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkenaan mengumumkan hilang kepercayaan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Situasi itu menyebabkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan mulai Selasa dalam usaha menyelesaikan konflik terbabit. – Getaran, 7 Oktober 2021

Berkaitan ⇢