Bahan ‘memudaratkan’ dikesan pada ubat perangsang syahwat, minuman pelangsing

|

views

SINGAPURA: “Bahan-bahan perubatan manjur” yang boleh menimbulkan kesan sampingan yang serius terhadap pengguna dikesan pada tiga produk, menurut Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada Jumaat (8 Okt).

Orang ramai tidak seharusnya membeli dan menggunakan produk-produk berikut – Miracle Gold Candy, C4 Candy dan Coco Hotz Cocoa Drink.

Kesemua produk itu dijual melalui wadah e-dagang tempatan seperti Carousell, Lazada, Shopee dan Qoo10 serta menerusi wadah-wadah media sosial Facebook dan Instagram.

HSA bekerjasama dengan para pentadbir platform untuk menurunkan kesemua penyenaraian yang terjejas dan ia juga sudah mengeluarkan amaran kepada para penjual, menurut HSA.

“Berhati-hati dengan produk-produk yang menggembar-gemburkan tuntutan yang keterlaluan atau menjanjikan kesan pantas yang tidak dijangkakan. Ia mungkin mengandungi bahan-bahan berbahaya yang boleh memudaratkan kesihatan anda,” menurut HSA.

“Berwaspadalah ketika membeli produk sedemikian online atau dari teman-teman sekalipun mereka berniat baik. Anda tidak boleh pastikan dari mana dan bagaimana produk itu dihasilkan.”

KENAIKAN MENDADAK RISIKO DISERANG ANGIN AHMAR, SERANGAN JANTUNG

Miracle Gold Candy dan C4 Candy dibungkus seperti gula-gula dan dipasarkan sebagai produk yang dapat merangsang syahwat kaum lelaki.

Produk-produk itu dilabel dengan “tuntutan keterlaluan” yang tidak dijangkakan pada produk gula-gula, menurut HSA.

Miracle Gold Candy didakwa dapat “meningkatkan kekuatan dan kesihatan kaum lelaki”, manakala C4 Candy didakwa berupaya “memanjangkan syahwat” dan “membantu mereka yang menghidap gaut, penyakit kencing manis dan darah tinggi”.

Kedua-dua produk itu diuji oleh HSA dan didapati mengandungi tadalafil, iaitu ubat preskripsi yang digunakan untuk merawat mati pucuk.

“Hakikatnya, Miracle Gold Candy mengandungi sehingga 30 kali ganda dari dos harian biasa tadalafil,” menurut HSA.

“Ini boleh meningkatkan risiko angin ahmar dan serangan jantung dengan ketara.”

Para pegawai Penguasa Imigresen & Pusat Pemeriksaan (ICA) memaklumkan HSA tentang Miracle Gold Candy setelah mengesan import produk-produk itu.

HSA dimaklumkan tentang C4 Candy oleh orang awam yang mengesyaki produk itu dibubuh dengan bahan lain.

Para pengguna dinasihatkan supaya berhenti mengambil kedua-dua produk dengan segera dan berjumpa doktor jika mereka berasa kurang sihat atau khuatir terhadap kesihatan mereka.

STEROID KUAT

HSA juga menerima maklum balas daripada seorang pengguna yang mengatakan Coco Hotz Cocoa Drink mungkin dibubuh dengan bahan lain kerana ia mendakwa “dapat membakar lemak dengan pantas” dan “mengawal selera makan”.

Produk itu diuji oleh HSA dan didapati mengandungi dexamethasone, sejenis steroid yang kuat.

“Penggunaan ubat steroid untuk jangka panjang tanpa pemantauan boleh menyebabkan kesan sampingan yang serius termasuk tahap glukosa dalam darah yang meningkat (yang boleh menyebabkan penyakit kencing manis) dan sindrom Cushing (muka bulat dan obesiti pada bahagian atas tubuh dengan anggota badan yang kurus serta keadaan perubatan lain yang berkaitan seperti tekanan darah tinggi),” menurut HSA.

Para pengguna yang mengambil minuman itu dinasihatkan supaya berjumpa doktor dengan segera. Berhenti menggunakan ubat steroid tanpa pemantauan perubatan yang betul boleh menyebabkan simptom penarikan yang serius seperti kelesuan, kecelaruan dan tekanan darah rendah.

“Kesemua penjual dan pembekal mesti berhenti daripada menjual produk-produk ini dengan segera. HSA tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas terhadap sesiapa yang didapati menjual dan membekalkan produk yang didapati mengandungi bahan ubat-ubatan berbahaya,” menurut HSA.

Para penjual dan pembekal boleh didakwa dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga dua tahun dan/atau didenda sehingga S$10,000.

Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat tentang penjualan dan pembekalan produk-produk haram boleh menghubungi Cawangan Penguatkuasaan HSA di 6866 3485 semasa waktu pejabat, atau menghantar emel kepada [email protected]

– CNA/HA/ha

Berkaitan ⇢