Mayat penunggang motosikal ditemui terapung dalam parit

|

views

TAIPING – Mayat seorang lelaki yang belum dikenalpasti identiti ditemui terapung dalam sebuah parit di Jalan Taiping-Selama dekat Masjid Mohd Ali Rouse, Kampung Ulu Sepetang, di sini, hari ini.

Difahamkan, mayat dipercayai mangsa kemalangan tiga hari lalu itu ditemui orang awam kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner (ACP) Osman Mamat berkata, siasatan mendapati mangsa yang menunggang motosikal dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar tiang elektrik dan terjatuh ke dalam parit.

Menurutnya, kejadian pada Rabu lalu itu mengakibatkan mangsa dipercayai tidak sedarkan diri di dalam parit berkenaan.

Katanya, mangsa kemudiannya dipercayai dihanyutkan sejauh 40 meter dari lokasi asal kemalangan akibat arus deras berikutan hujan.

“Polis tidak menerima sebarang laporan awal kemalangan itu berlaku dan maklumat mengenai insiden hanya diketahui selepas penemuan mayat itu hari ini.

“Maklumat diri mangsa sedang cuba diperoleh termasuk usaha menjejak waris serta majikan mangsa untuk membantu siasatan,” katanya.

Osman berkata, pihaknya turut menemui motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggangi mangsa di lokasi kemalangan dengan kesan lampu hadapan pecah dan meter tertanggal.

Menurutnya, polis kemudiannya berjaya mengenalpasti pemilik motosikal terbabit dan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping untuk soal siasat.

Katanya, punca kematian sebenar akan diperoleh sebaik bedah siasat dijalankan dan kes pada masa ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berkaitan ⇢