Mayat lelaki murung dijumpai tergantung di pokok

|

views

TELUK INTAN – Misteri kehilangan seorang lelaki yang mengalami kemurungan akhirnya terjawab selepas mayatnya ditemui tergantung dengan tali pada pokok di tepi Sungai Chikus, di sini, jam 1.30 tengah hari, hari ini.

Mayat Jefri Ismail, 36, ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat selepas menghilangkan diri dari rumahnya sejak Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner (ACP) Ahmad Adnan Basri berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira empat kilometer dari lokasi penemuan motosikal dan telefon bimbitnya.

“Mayat mangsa yang ditemui tergantung pada pokok itu disahkan oleh ahli keluarganya sebelum pemeriksaan dijalankan di lokasi kejadian oleh pihak forensik.

“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Teluk Intan (HTI) untuk bedah siasat,” katanya di sini, hari ini.

Ahmad Adnan berkata, siasatan awal mendapati mangsa sudah meninggal dunia tiga hari lalu, dan disyaki membunuh diri berdasarkan penemuan jasadnya yang tergantung pada pokok.

Beliau memberitahu, laporan kehilangan mangsa akan disiasat semula dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut bagi mengetahui punca sebenar kematian.

sebelum ini dilaporkan, Jefri dipercayai menghilangkan diri dari rumah, sebelum motosikal dan telefon bimbit milik pemuda berkenaan ditemui ahli keluarganya dalam kawasan kebun kelapa sawit Alor Bakong, Langkap, di sini.

Mangsa difahamkan mengalami kemurungan sekitar sebulan lalu dan pernah memberitahu isterinya yang dia selalu terdengar suara seakan bisikan.

Mangsa juga dipercayai berubah perwatakan apabila sering bercakap seorang diri.

Berkaitan ⇢