Kereta terbabas, ASP, rakan maut

|

views

KOTA KINABALU – Seorang pegawai polis dan rakannya maut selepas kenderaan yang mereka naiki terbabas di Jalan Lintas, Metrotown, awal pagi tadi.

Mangsa dikenali sebagai Azrini @ Azrin Abu Bakar, 42, berpangkat Asisten Superintendan (ASP) berkhidmat sebagai Ketua Cawangan Khas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak.

Seorang lagi mangsa yang merupakan pemandu kenderaan tersebut dikenal pasti sebagai Dylevia Dewalter, 38.

Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE) II.

Difahamkan, kenderaan jenis Nissan Almera itu sedang menuju ke Jalan Tuaran Bypass dari arah Citymall sebelum terlibat kemalangan kira-kira jam 5.30 pagi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kenderaan mangsa yang terbabas sendiri sebelum merempuh pokok di tengah jalan berkenaan.

Impak dari kemalangan tersebut, kedua-dua mangsa tercampak keluar daripada kenderaan sebelum ditemukan di dalam parit pembahagi jalan.

“Kedua-dua mangsa dibawa ke hospital namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” tambahnya.

Berkaitan ⇢