PRN Melaka: Rundingan kerusi antara parti komponen PN dimuktamad dalam masa terdekat

|

views

Rundingan kerusi antara semua parti komponen Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan dimuktamadkan dalam masa terdekat, kata Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Hamzah berkata Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen yang juga Pengerusi PN Negeri telah mengatur strategi untuk menggerakkan seluruh kekuatan jentera akar umbi parti bersama parti-parti komponen bagi menghadapi PRN itu.

Beliau berkata Bersatu dan parti-parti komponen PN akan terus meningkatkan pelaksanaan program-program ‘outreach’ sedia ada di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka bagi menyantuni penduduk antaranya inisiatif Gerai Prihatin Rakyat yang mendapat sambutan baik.

Selain itu, Hamzah berkata Mesyuarat Majlis  Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu semalam  telah membincangkan persiapan parti tersebut bagi menghadapi PRN Melaka.

“Dalam hal ini, Bersatu bersedia untuk  menghadapi PRN Melaka dengan melakukan persiapan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

DUN Melaka dibubarkan pada 4 Okt selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik balik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat bekas ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan urusan PRN Melaka pada Isnin depan (18 Okt).

Ini termasuk tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian dan daftar pemilih yang akan digunakan serta lain-lain persiapan bagi melaksanakan PRN tersebut.

— BERNAMA

Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9). Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

Berkaitan ⇢