PM ziarah lima beradik yatim piatu

|

views

Yatim piatu sekelip mata, begitulah nasib lima beradik yang kehilangan kedua-dua ibu bapa mereka akibat COVID-19.

Nasib mereka mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang berkesempatan mengunjungi kediaman mereka di Kota Perdana, Seri Kembangan, hari ini.

Lima beradik itu terdiri daripada Muhammad Hadhrami, 11, Husna Humaira, 9,  Muhammad Harraz, 7,  Muhammad Hawwas, 6 dan Hannan Humaira, 3,

Perkara itu turut dikongsi beliau dalam satu kenyataan di Facebooknya.

“Selepas program walkabout Perumahan Awam Seri Perak, saya terus ke Kota Perdana, Seri Kembangan.

“Hati saya tersentuh dengan lima beradik iaitu Hadhrami, Humaira, Harraz, Hawwas dan Hannan yang kehilangan kedua ibu bapa akibat COVID-19,” katanya.

Perdana Menteri berkata, lima beradik itu kini dijaga datuk, nenek serta ibu dan bapa saudara masing-masing secara bergilir-gilir.

“Betapa besar dugaan yang dilalui Hadrami dan adik-adiknya di usia yang amat muda. Hanya Allah SWT yang mengetahui,” katanya.

Pada masa sama, Ismail Sabri turut berterima kasih kepada seluruh ahli keluarga, kementerian, agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta dan orang ramai yang membantu lima beradik ini.

“Semoga dengan usaha murni ini dapat membantu Hadrami dan adik-adiknya dengan semangat Keluarga Malaysia.

“Saya akan terus beri perhatian kepada Keluarga Malaysia terutama dalam kes seumpama ini demi kelangsungan hidup terutama dari aspek pendidikan mereka,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan kisah sedih lima beradik yatim piatu selepas ibu mereka, Ida Haryanie, 38, meninggal dunia pada 7 Oktober lalu.

Bapa mereka, Mohd Nasir Tahal, 46, terlebih dahulu meninggal dunia pada 11 Ogos lalu ketika kedua-duanya menerima rawatan di Hospital Putrajaya akibat COVID-19.

Berkaitan ⇢