DAP tolak Norhizam sebagai calon PRN

|

views

MELAKA TENGAH – DAP bertegas menolak bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Setiausaha Agong DAP, Lim Guan Eng berkata, perkara itu akan dibawa pihaknya ke mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan.

“Ini dijadikan sebagai satu keputusan tegas, kita tidak terima dia sebagai calon dalam PRN.

“Saya dengan tegasnya menyatakan DAP menolak sama sekali YB Pengkalan Batu sebagai calon dalam PRN akan datang,” katanya pada sidang media hari ini.

Bagaimanapun, Guan Eng enggan mengulas lanjut ketika ditanya alasan DAP membuat keputusan demikian.

“Saya hanya sebut DAP tidak terima dia sebagai calon dalam PRN.

“Saya tidak mahu sebut, tidak perlu pergi pada asal usulnya, semua faham,” tegasnya.

Mengulas lanjut beliau berkata, DAP menyokong bekas Ketua Menteri Melaka Adly Zahari sebagai Ketua Menteri baharu.

“Saya harap tiada sebarang kesangsian terhadap perkara ini kerana ia bukan hanya daripada DAP sahaja malah parti komponen yang lain juga,” katanya.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pertenakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 atas tiket DAP, sebelum menjadi calon Bebas dan menyatakan sokongan pada UMNO untuk membentuk kerajaan baharu pada Mac lalu.

Berkaitan ⇢