Selawat antara ikhtiar terbaik

|

views

Ujian itu bukannya satu penzaliman namun mungkin satu pengajaran atau cara Allah menambahkan darjat seseorang sekiranya seseorang yang diuji sanggup bersabar menerima ujian tersebut.

Bagi menghadapinya, kita tidak dikehendaki diam sahaja tetapi disuruh berikhtiar bagi memperoleh sesuatu yang terbaik dan antara ikhtiar yang afdal ialah berdoa dalam bentuk selawat sama ada dalam waktu senang atau susah.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan ikhtiar yang perlu dilakukan oleh umat Islam itu ketika berkenan mengurniakan titah sempena Sambutan Maulud Nabi SAW bagi Tahun 1443H/2021M secara langsung dari Istana Nurul Iman hari ini.

“Kita berdoa dalam senang supaya dikekalkan kesenangan dan berdoa dalam susah supaya dihapuskan kesusahan,” tekan Baginda.

Baginda seterusnya mengingatkan, salah satu jenis doa atau jenis zikir yang sangat tajam untuk menyampaikan hajat ialah selawat ke atas Nabi Sayyidina Muhammad SAW.

Sehubungan itu, Baginda menyeru sempena menyambut Maulud Al Rasul ini, sangatlah wajar untuk membanyakkan selawat ke atas Baginda, sebagai doa dan zikir untuk melepaskan atau membebaskan daripada musibah koronavirus.

Baginda Sultan juga menyarankan agar sepanjang bulan Rabiulawal ini, rancangan selawat di perbanyakkan dan lebih dikerapkan kemunculannya.

“Di samping itu, teruskan rancangan berupa bacaan ayat suci Al-Quran, doa dan zikir yang sedang berjalan pada masa ini,” titah Baginda.

Baginda seterusnya menyarankan, “Sementara orang ramai pula, secara bersendirian jangan ketinggalan untuk sama-sama mengamalkannya dan Insya Allah dengan berkat dan syafaat Nabi SAW, Brunei Darussalam akan bebas dan bersih daripada wabak koronavirus.”

Terdahulu, Baginda bertitah bahawa bulan Rabiulawal merupakan bulan diputerakan junjungan besar Sayyidina Muhammad SAW.

Negara Brunei Darussalam, dengan kehendak Allah SWT juga, buat pertama kalinya tidak meraikan Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW secara berhimpun beramai-ramai kerana penularan wabak koronavirus.

“Tetapi kita masih sahaja dapat menyambut dengan cara yang bersesuaian dengan keadaan.

“Ini tidak syak lagi adalah satu ujian berat yang belum pernah berlaku, tapi selaku umat yang berakidah, wajib melihatnya sebagai ada hikmah di sebalik itu tetapi kita sesungguhnya tidaklah tahu hakikat hikmah kerana itulah Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 216 bagi memberitahu kita kedudukan hikmah itu.

“Tafsirnya, ‘Boleh jadi sesuatu kamu benci (tidak sukai), padahal ia baik bagi kamu dan begitu juga boleh jadi sesuatu yang kamu suka, padahal ia buruk (tidak baik) bagi kamu. Ingatlah hanya Allah juga yang mengetahui semua itu, sedang kamu tidak mengetahuinya’.”

Inilah pegangan yang betul untuk dipegang, tegas Baginda, kita tidak dapat lari dari apa jua yang ditentukan oleh Allah dan setiap ketentuanNya itu, pastinya ada mengandungi hikmah.

“Kita wajib mempunyai sangkaan baik terhadap Allah, apa-apa yang ditentukan olehNya adalah semua itu baik untuk kita,” tekan Baginda.

Berkaitan ⇢