Maulidur Rasul tetap meriah

|

views

BANDAR SERI BEGAWAN – Umat Islam di Negara Brunei Darussalam meraikan Sambutan Maulidur Rasul tahun ini tanpa perhimpunan dan perarakan berikutan langkah kerajaan membendung penularan pandemik COVID-19.

Bagaimanapun, Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam (SAW) Peringkat Negara bagi Tahun 1443 Hijrah hari ini telah dimeriahkan dengan 21 das tembakan meriam di ibu negara yang dilaksanakan oleh anggota Polis Tentera Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dengan pelbagai program dan acara berselawat telah dianjurkan secara dalam talian dan saluran televisyen, radio serta media sosial.

Sambutan Maulidur Rasul yang bertemakan ‘Rasulullah Kekasih Allah, Kekasihku Dunia Akhirat’ telah dimulakan dengan persembahan bacaan Al-Quran yang dibawakan oleh Awang Afiq Haririe bin Haji Mohd Daud, johan Musabaqah Tilawatil Al-Quran Belia Kebangsaan Tahun 1442H/2021M.

Program kemudian diteruskan dengan ucapan khas oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Peringkat Negara dan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1443 Hijrah.

Yang Berhormat Pehin dalam ucapannya menekankan meskipun negara berdepan gelombang kedua pandemik COVID-19, ia adalah komitmen kenegaraan dan keagamaan untuk memperingati peristiwa bersejarah kelahiran Nabi Muhammad SAW pada setiap tanggal 12 Rabiulawal.

“Ia komitmen kenegaraan kerana kita negara yang mendaulatkan agama Islam sebagai agama rasmi negara. Komitmen keagamaan pula ialah kerana kita menjadi penganut agama Islam, mengimani akidahNya, mengamalkan ajaranNya.

“Kedua-dua komitmen ini adalah tanda kita bersyukur kepada Allah SWT. Kita mensyukuri rahmat Allah kerana telah mengangkat dan mengutus Nabi Muhammad menjadi nabi dan rasul.

“Ini sekali gus mengenang jasa dan perjuangan Rasulullah berdakwah dan memperjuangkan Islam untuk kekal menjadi agama anutan manusia sepanjang zaman dan kita adalah sebahagian umatnya,” ujar Yang Berhormat Pehin.

Dengan itu, katanya, setiap tahun kita memperingati Maulud Nabi Muhammad, junjungan kita sepanjang zaman itu dengan mengadakan acara-acara sambutan.

“Adapun yang utama dan paling signifikan pada setiap sambutan ialah titah perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji  Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang disiarkan di seluruh negara melalui RTB pada sebelah malam menjelang 12hb Rabiulawal.

“Titah Baginda itu merupakan rangkaian titah yang sentiasa memberi ilham dan memangkin semangat kita senegara dalam menghayati wawasan kepimpinan Baginda yang meletakkan agama Islam di hadapan untuk menjadi pedoman, bukan di samping, dan pasti bukan di belakang,” ujarnya lagi.

Majlis kemudian diteruskan dengan persembahan Dikir Marhaban yang dibawakan oleh gabungan wakil daripada Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Kementerian Pendidikan.

Acara kemuncak majlis ialah Tazkirah Khas yang disampaikan oleh Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal.

Ia turut diserikan dengan bacaan selawat-selawat yang dibawakan oleh Kumpulan An-Nida dan belia-belia daripada Program Keagamaan Belia di bawah KHEU iaitu Belia Da’ie, Belia Mualaf serta Belia Masjid.

Acara juga diselang-selikan dengan persembahan puisi yang dibawakan oleh mahasiswa-mahasiswa UNISSA dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) serta Belia Da’ie.

Sementara itu, KHEU melalui Pusat Dakwah Islamiah dengan sokongan RTB akan menyiarkan acara iringan iaitu forum perdana sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW yang akan disiarkan di saluran televisyen Brunei pada 21 Oktober mulai jam 9 malam.

Berkaitan ⇢