Bayaran tidak setimpal hapus minat rakyat dalam sektor perladangan

|

views

Kerajaan tidak sewajarnya menggunakan alasan bahawa pekerja tempatan tiada minat bekerja dalam sektor perladangan bagi ‘menghalalkan’ usaha pengambilan tenaga kerja asing.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor berkata, kenyataan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin bahawa pekerja tempatan sukar melakukan kerja menuai di sektor perladangan kerana tidak mampu memikul kelapa sawit yang berat adalah tidak adil kepada rakyat.

Tegasnya, isu utama yang menyebabkan rakyat tempatan tidak berminat bekerja di ladang adalah bayaran upah tidak setimpal dengan beban kerja dilakukan.

“Rakyat Malaysia sanggup bekerja di Australia dan Singapura sebagai pekerja kasar, berbahaya dan kotor disebabkan gaji yang baik,” katanya.

Kamarul Baharin berkata, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi sepatutnya sudah membuat kajian berkaitan isu kekurangan pekerja tempatan dalam sektor perladangan.

Jelasnya, faktor bayaran upah adalah sebab utama pekerja tempatan tidak menceburi pekerjaan di sektor itu, yang sama sekali tidak berkaitan dengan keupayaan mereka memikul kelapa sawit.

Beliau berkata, kementerian itu perlu mengkaji faktor lain juga mengenai kekurangan pekerja tempatan dalam sektor terbabit, yang sering dianggap berat, kotor dan berbahaya.

“Upah pekerja tempatan di sektor perladangan adalah RM1,200 dan memerlukan kerja lebih masa untuk mencapai RM2,000.

“Mungkin tiba masanya kerajaan memberi inisiatif kepda pekerja tempatan yang bekerja di sektor perladangan dengan membayar gaji melebihi had Pendapatan Garis Kemiskinan Negara (PGK) sebanyak RM2,208 untuk kerja normal,” katanya.

Mengulas lanjut, Kamarul Baharin berkata,  MTUC sudah memberi pandangan semasa sesi libat urus dengan Zuraida pada 27 September lalu, berhubung keperluan penggajian pekerja asing.

“MTUC menegaskan bahawa syarikat mesti mengutamakan pekerja tempatan dalam penggajian semua sektor,” katanya.

Menurut Kamarul Baharin, MTUC tidak pernah dibabitkan dalam isu penggajian pekerja asing, malah tiada data dan kajian dikemukakan, sehingga pihaknya meragui kebenaran wujudnya keperluan mendesak dalam perkara itu.

Perkara itu, katanya, seolah-olah menyaksikan berlaku eksploitasi sehingga mencemarkan nama Malaysia di persada dunia.

“Kerajaan perlu menghalang syarikat yang mempunyai rekod buruk terhadap pekerja asing daripada menggajikan tenaga kerja itu.

“Sekatan, halangan dan ugutan kepada pekerja asing untuk menjadi ahli kesatuan sekerja memburukkan imej negara. MTUC perlu diberikan kesempatan untuk berjumpa pekerja asing sebelum mereka bekerja bagi mengelakkan buruh paksa berlaku,” katanya.

Zuraida baru-baru ini berkata, kerajaan akan membawa masuk seramai 32,000 pekerja asing untuk bekerja di sektor perladangan kerana rakyat tempatan tidak berminat untuk mengisi kekosongan pekerjaan itu walaupun ditawarkan gaji lumayan.

Ahli Parlimen Ampang itu turut menyatakan, sektor berkenaan kekurangan pekerja untuk kerja menuai dalam kalangan rakyat tempatan atas alasan berat dan susah.

Berkaitan ⇢