[Video] Anjing berkeliaran, najis tikus bersepah dan sijil HALAL diragui – Kilang belacan dan tauhu diarah tutup

|

views

NAJIS tikus di ruang pemprosesan makanan, anjing di dalam premis, letak bekas makanan atas lantai antara sebab kilang tauhu dan kilang belacan di Seberang Perai, diarah tutup hari ini.

Keadaan kotor lagi menjijikkan itu dikesan pihak berkuasa hasil serbuan Ops Bersih ke atas kedua-dua premis berkenaan.

Malah salah sebuah premis terlibat iaitu kilang belacan dipercayai menggunakan logo halal yang diragui pada produk mereka.

Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Mohd Wazir Khalid berkata, arahan penutupan itu adalah untuk selama dua minggu.

Katanya, tahap kebersihan kilang-kilang itu yang masing-masing terletak di Kampung Selamat, Tasek Gelugor dan Sungai Puyu jelas tidak mencapai piawaian yang ditetapkan.

“Pemilik kilang-kilang itu juga dikenakan kompaun, masing-masing tiga dan empat kompaun bernilai hampir RM12,000.

“Malah, pihak kami juga telah memberi Notis Perintah Penutupan Premis di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 berkuat kuasa hari ini sehingga 2 November 2021,” katanya kepada pemberita hari ini.

Operasi tersebut disertai 15 anggota jabatan tersebut dan 12 penguat kuasa Bahagian Perlesenan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Mohd Wazir berkata, antara kesalahan lain yang dilakukan adalah terdapat pekerja kilang yang tidak menerima suntikan tifoid selain tidak memakai penutup kepala, apron dan kasut semasa mengendalikan makanan.

“Pekerja kilang tauhu didapati menempatkan bekas makanan yang diproses di atas lantai yang jelas tidak mengikut prosedur yang ditetapkan, selain keadaan lantai premis yang licin dan boleh mendatangkan bahaya.

“Bagi kilang belacan pula, kami dapati logo halal yang digunakan pada produk adalah diragui, selain peralatan yang digunakan adalah tidak bersih, di samping terdapat binatang peliharaan seperti anjing berada dalam premis berkenaan yang sememangnya tidak mematuhi prosedur ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, kilang-kilang itu turut dikenakan penguatkuasaan di bawah Undang-undang Kecil 25(1)(C) Akta Makanan 1983.

Berkaitan ⇢