Remaja maut digilis jentera perata jalan

|

views

BINTULU – Seorang remaja lelaki maut digilis jentera perata jalan di kawasan lampu isyarat Siong Boon, Jalan Johari Sunam, di sini petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, kejadian pada jam 5.15 petang itu berlaku sewaktu mangsa yang dikenali sebagai Jeffry Jaya, 17, sedang melakukan kerja meratakan aspal jalan, sebelum proses penurapan dimulakan.

Menurut beliau, mangsa dilanggar jentera berkenaan yang dikendalikan seorang lelaki berusia 57 tahun dari arah hadapan.

“Pengendali jentera itu tidak menyedari mangsa yang digilis sudah terperosok ke bahagian bawah jentera berkenaan,” katanya kepada Getaran hari ini.

Beliau berkata, pekerja lain yang melihat kejadian itu berteriak mengatakan rakan mereka digilis, menyebabkan pengendali jentera bertindak memberhentikan mesin tersebut serta-merta.

“Mangsa yang mengalami kecederaan parah di seluruh bahagian badan dibawa ke Hospital Bintulu bagi mendapatkan rawatan.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan ketika menerima rawatan di wad kecemasan,” uiarnya.

Alexson berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Bintulu untuk bedah siasat.

“Laporan polis berhubung kes ini dibuat pada jam 9.40 malam tadi dan siasatan terperinci akan dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian,” jelasnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Getaran, 22 Oktober 2021

Berkaitan ⇢