[Video] Kawasan ‘laut terbelah’ di Pantai Mek Mas ditutup

|

views

KOTA BHARU – Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) mengambil tindakan menutup sebahagian kawasan Pantai Mek Mas di sini yang merupakan lokasi berlakunya fenomena ‘laut terbelah’ baru-baru ini.

Penutupan sebahagian kawasan pantai bermula Isnin lalu itu dilakukan atas faktor keselamatan kepada orang ramai yang dilihat ramai berkunjung ke pantai itu apabila fenomena tersebut tular di media sosial.

Fenomena itu berlaku sejak lebih sebulan lalu disebabkan air surut yang kemudian membentuk beting pasir hingga membolehkan orang ramai berjalan ke tengah laut.

Penghulu Mukim Kampung Che Latif, Zinuddin Daud berkata, pihak MPKB-BRI telah memasang pita kawasan larangan di lokasi berlakunya fenomena itu bagi mengelakkan orang ramai terus berkunjung ke situ.

Menurutnya, sebagai penduduk kampung, dia berharap pengunjung akur dengan arahan itu dan tidak berkunjung ke Pantai Mek Mas dalam masa terdekat.

“Kita telah mengadakan mesyuarat jawatankuasa bencana di Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu di sini mengenai perkara itu. Atas faktor keselamatan, penduduk mencadangkan agar orang ramai tidak masuk ke lokasi pantai terbelah itu.

“Kita juga bimbang apabila mereka ke kawasan itu dan berlaku kejadian yang tidak diingin. Ketika ini juga sudah masuk peringkat awal musim tengkujuh dan kita ambil langkah segera demi keselamatan umum,” katanya ketika ditemui pemberita di Pantai Mek Mas di sini hari ini.

——————-

Berita sebelum:

Pantai Mek Mas diserbu selepas tular fenomena ‘laut terbelah’

KOTA BHARU – Pantai Mek Mas, Kuala Besar di sini yang sebelum ini ‘sepi’ kembali meriah dengan kedatangan orang ramai selepas fenomena ‘laut terbelah’ di kawasan itu tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.
Tinjauan pada Sabtu mendapati orang ramai dilihat begitu teruja melihat fenomena itu yang mana mereka boleh berjalan di tengah-tengah beting pasir yang dipercayai terbentuk akibat air surut.

Seorang pengunjung, Sabariah Ibrahim, 50, mengakui teruja dapat melihat fenomena yang dianggap pelik itu.

“Jika sebelum ini saya hanya melihat fenomena itu menerusi perkongsian video sahaja selepas ia tular beberapa hari lalu.

“Namun hari ini, saya dapat melihat ia secara jelas dan ia menjadi pengalaman baharu,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Menurutnya, dia sanggup memandu dari Berek 12 di sini ke Pantai Mek Mas untuk menyaksikan kejadian itu.

Bagi Diyana Kamaruddin, 24, perasaannya membuak-buak untuk menyaksikan fenomena itu secara sendiri selepas menonton rakaman video yang tular di media sosial.

“Mulanya saya ingat biasa-biasa sahaja, tetapi bila dilihat secara ‘live’ ia betul-betul menakjubkan.

“Jadi tidak sia-sia saya memandu kereta dari Bachok untuk melihat fenomena pelik ini,” katanya.

Sementara itu, Fifiana Alisa Rosle,24, berkata, kelonggaran pergerakan yang diberikan oleh kerajaan membuatkannya memilih untuk berkunjung ke pantai berkenaan.

Katanya, walaupun kerajaan melonggarkan pergerakan, namun prosedur operasi standard (SOP) tetap perlu dipatuhi seperti memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.

Penghulu Tanpa Mukim Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijang, Malek Mohd Nor pula menasihatkan para pengunjung supaya berhati-hati semasa berkunjung ke lokasi berkenaan bagi mengelakkan berlakunya kejadian yang tidak diingini.

Katanya, kebimbangan itu tampak berasas apabila struktur pasir di kawasan tersebut tidak diketahui sama ada ia kukuh atau sebaliknya.

“Lagipun lokasi itu bukan tempat pelancongan, sebaliknya tapak perlombongan pasir,” katanya.

Berkaitan ⇢