China, negara kepulauan Pasifik komited perkukuh hubungan

|

views

BEIJING — China bersedia memberi sokongan kepada pembangunan negara-negara kepulauan Pasifik, dan komited untuk memperkukuh perkongsian strategik komprehensif antara kedua-dua pihak.

Demikian kata Menteri Luar, Wang Yi dalam Mesyuarat Menteri Luar China-Negara Kepulauan Pasifik yang berlangsung secara maya pada Khamis.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negara China turut menyarankan kedua-dua pihak supaya mempertingkat komunikasi berkaitan pelaksanaan dasar, mengintensifkan kerjasama melawan pandemik COVID-19 dan memacu pemulihan ekonomi.

Wang berkata kedua-dua pihak juga diharap dapat berganding bahu dalam merungkai pelbagai cabaran, memperluas pertukaran sosiobudaya, di samping mengamalkan multilateralisme.

Dalam pada itu, China akan terus menyalurkan vaksin dan pelbagai jenis barang keperluan bagi membantu negara-negara kepulauan Pasifik membendung wabak COVID-19, selain mewujudkan rizab khas bekalan kecemasan.

Sementara itu, perwakilan dari negara kepulauan itu menzahirkan hasrat untuk mempertingkat perkongsian dengan China dalam pentadbiran negara, memperkukuh kerjasama berorientasikan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), dan memperkasa komunikasi dan kolaborasi dalam isu-isu global termasuk mempertahankan multilateralisme serta menangani perubahan iklim.

Perwakilan turut sebulat suara menyambut baik komitmen China dalam menjadikan vaksin COVID-19 sebagai produk awam antarabangsa.

Berkaitan ⇢