Ibu didakwa gagal lindungi anak perempuan daripada dirogol abang sendiri

|

views

SINGAPURA: Ibu kepada seorang pemuda yang merogol adik perempuannya sendiri didakwa di mahkamah hari ini (25 Okt) kerana dengan sengaja membenarkan seorang kanak-kanak diperlakukan dengan buruk dan mengecualikan maklumat tentang kesalahan jenayah.

Wanita berusia 43 tahun itu tidak dapat didedahkan namanya atas perintah mahkamah demi melindungi identiti mangsa.

Anak lelaki tertuduh dijatuhi hukuman penjara 11 tahun setengah dan tujuh kali sebatan rotan pada Januari 2020 kerana merogol adiknya dan mencabul mangsa ketika mangsa masih bawah umur. Pelbagai dakwaan lain dipertimbangkan semasa menjatuhkan hukuman.

Anak perempuan wanita itu berusia 12 tahun apabila abangnya, ketika itu berusia 20 tahun, merogolnya pada 2017.

Wanita itu dikenakan lima dakwaan pada Isnin. Dakwaan-dakwaan itu adalah atas kesalahan sengaja mengecualikan maklumat tentang kesalahan jenayah rogol dan pencabulan kanak-kanak bawah umur dan kerana secara sengaja membenarkan anak lelakinya mendera anak perempuannya secara seksual walhal dia tahu tentang perkara itu seawal 2010.

Menurut kes mahkamah anaknya, wanita itu didakwa menyedari kesan air mani pada seluar dalam anak perempuannya pada 2010 dan bertanya kepada anak lelakinya jika dia mencabul atau “melakukan hubungan seks” dengan mangsa lagi.

Wanita itu didakwa membiarkan penderaan seksual itu berlanjutan antara Jun 2017 dengan September 2017, dan gagal mengambil langkah sewajarnya untuk melindungi anak perempuannya dari risiko tersebut.

Tertuduh ditahan reman hari ini. Dia berkata dia akan memohon bantuan guaman. Mahkamah diberitahu bahawa Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga sedang mengatur supaya anak perempuan tertuduh tinggal di rumah perlindungan.

Tertuduh akan kembali ke mahkamah pada November.

Jika disabit kesalahan sengaja membenarkan perbuatan buruk dilakukan ke atas seorang kanak-kanak, dia boleh dipenjara sehingga empat tahun dan didenda sehingga S$4,000.

Sekiranya didapati bersalah kerana sengaja tidak memberikan maklumat mengenai kesalahan yang berlaku, dia boleh dipenjara hingga enam bulan dan didenda atas setiap dakwaan.

– CNA/TQ/tq

Iklan

Berkaitan ⇢