Remaja didakwa pancing secara haram di Little Guilin tanpa pelitup, jarak selamat

|

views

SINGAPURA: Seorang remaja dituduh memancing secara haram di Taman Bukit Batok Town yang juga dikenali sebagai Little Guilin, bersama lima individu lain dalam satu insiden dan lagi tujuh individu dalam insiden kedua.

Remaja berusia 17 tahun itu didakwa di mahkamah pada Rabu (27 Okt). Namanya tidak boleh didedahkan kerana dia berusia bawah 18 tahun.

Dia didakwa dengan lima tuduhan melanggar peraturan COVID-19 dan Peraturan Taman-Taman dan Pokok-pokok sewaktu kedua-dua insiden itu.

Pada insiden pertama, iaitu sekitar 9.05 pagi pada 2 Jun, remaja itu didakwa berjumpa dengan lima individu daripada isi rumah yang berbeza di Taman Bukit Batok Town untuk memancing dan menggunakan peranti memburu.

Insiden kedua pula berlaku pada awal pagi 16 Jun. Remaja itu didakwa meninggalkan rumahnya pada 3.18 pagi pada hari itu dan gagal menjaga jarak 1m dari tujuh orang lain sewaktu berada di taman tersebut. Dia juga didakwa gagal memakai pelitup dan menggunakan joran untuk memancing.

Memancing tidak dibenarkan di Taman Bukit Batok Town. Menurut peraturan, tiada sesiapa pun yang dibenarkan menggunakan peralatan memburu untuk tujuan menangkap sebarang haiwan di taman awam kecuali diluluskan.

Remaja itu merancang untuk mengaku bersalah dan akan kembali ke mahkamah untuk berbuat demikian pada Disember.

Jika sabit kesalahan melanggar peraturan COVID-19, dia boleh dihukum penjara sehingga enam bulan, didenda sehingga $10,000 atau kedua-duanya sekali bagi setiap tuduhan.

Atas kesalahan menggunakan peralatan memburu di sebuah taman awam untuk menangkap ikan, dia boleh didenda sehingga S$5,000 bagi setiap tuduhan.

– CNA/SM/fz

Berkaitan ⇢