38 belum lengkap divaksin didenda kerana duduk makan di pusat penjaja, dedah NEA

|

views

SINGAPURA: Seramai 38 individu yang belum divaksin sepenuhnya atau hanya menerima satu dos vaksin didapati duduk makan di pusat penjaja antara 20 Oktober dengan 26 Oktober.

Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dalam kenyataannya pada Khamis (28 Okt) turut mendedahkan bahawa butiran peribadi para individu tersebut sudah direkodkan. Sungguhpun demikian NEA tidak pula mengulas tentang hukuman yang dikenakan.

Mediacorp sudahpun meminta NEA untuk memberikan perinciannya.

Sejak 13 Oktober, hanya individu lengkap divaksin dibenarkan duduk makan di pusat penjaja dan kedai kopi. Mereka yang belum divaksin atau hanya menerima satu dos vaksin hanya boleh memasuki pusat penjaja dan kedai kopi untuk membeli makanan untuk dibawa pulang.

Pihak berkuasa memberikan tempoh antara 13 Oktober dengan 19 Oktober untuk orang ramai menyesuaikan diri dengan langkah-langkah baru itu yang bertujuan untuk melindungi para penduduk yang belum divaksin dan meringankan beban terhadap sistem jagaan kesihatan.

“Kita semua berperanan untuk melindungi diri sendiri dan individu lain di sekeliling kita. Jika anda belum divaksin, sila bungkus makanan anda dan jangan duduk makan di luar,” menurut NEA.

NEA menambah tindakan penguatkuasaan diambil terhadap 41 individu yang didapati melanggar langkah-langkah pengurusan selamat di pusat penjaja.

Kesalahan-kesalahannya termasuk berkumpul dalam kumpulan melebihi dua orang, tidak memakai pelitup dengan betul dan tidak menjaga jarak selamat sekurang-kurangnya 1 meter.

Berkaitan ⇢