Gara-Gara Pandang Memandang, 2 Lelaki Cedera Dibelasah

|

views

KOTA KINABALU – Dua lelaki cedera selepas dibelasah lapan lelaki dalam satu kejadian pergaduhan di sebuah pusat hiburan di Cyber City, 20 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner (ACP) Mohd Zaidi Abdullah berkata kejadian yang berlaku sekitar jam 3 pagi itu dipercayai berpunca daripada dua-dua pihak yang mabuk dan saling pandang- memandang ketika di dalam pusat hiburan berkenaan.

Mohd Zaidi berkata, pergaduhan berlaku di luar pusat hiburan itu apabila lapan suspek bertindak menarik seorang mangsa dan mula membelasahnya.

Rakan mangsa yang menyedari kejadian itu cuba membantu, namun turut dibelasah oleh kumpulan berkenaan.

“Kedua-dua mangsa kemudiannya dibantu oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian. Seorang lagi suspek didakwa menjerit kepada mangsa untuk mencari ‘Faizal’ di Sinsuran 4 sebelum melarikan diri bersama rakan-rakannya menggunakan Proton Saga warna kelabu,” katanya, di sini hari ini.

Menurut Mohd Zaidi, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa yang berusia 19 tahun itu dibelasah menggunakan topi keledar dan kepala tali pinggang.

Kedua-dua mangsa bagaimanapun katanya tidak mengalami kecederaan serius dan mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth II.

Jelas Mohd Zaidi, susulan daripada kejadian tersebut, seorang lelaki yang dipercayai terlibat telah ditahan pada 27 Oktober lalu di Api-Api Centre bagi membantu siasatan.

Katanya, usaha mengesan tujuh lagi suspek sedang giat dijalankan dan siasatan masih diteruskan bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

Kes berkenaan, tambahnya, disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

“Pemeriksaan telah dijalankan ke atas premis hiburan berkenaan, sehari selepas kejadian.

“Dalam pemeriksaan itu, 10 kompaun telah dikeluarkan kepada pelanggan dan pemilik premis selepas didapati melakukan kesalahan,” katanya.

Berkaitan ⇢