Zainal mahu pemain kekal momentum selepas sahkan slot suku akhir

|

views

Pengendali Melaka United FC (MUFC) Zainal Abidin Hassan mengingatkan anak-anak buahnya untuk terus mengekalkan momentum kemenangan dalam baki dua perlawanan timbal balik Piala Malaysia Kumpulan C selepas menewaskan Kelantan United FC 2-1 dalam aksi di Stadium Hang Jebat malam tadi.

Beliau berkata biarpun telah mengesahkan slot ke suku akhir selepas mencatatkan kemenangan ketiga berturut-turut namun skuad Sang Kancil tidak boleh mengambil mudah sebaliknya perlu bersedia untuk memastikan prestasi pasukan terus meningkat supaya mampu melangkah lebih jauh dalam saingan piala berprestij itu.

“Perlawanan malam ini (malam tadi) tidak mudah kerana dalam Kumpulan C belum ada pasukan yang layak ke suku akhir dan ini adalah peluang terakhir untuk Kelantan melayakkan diri, jadi kami banyak mensia-siakan peluang keemasan pada separuh masa pertama hingga membebankan pasukan hingga ke wisel penamat

“Yang penting apabila kami bertandang ke Kota Bharu untuk aksi timbal balik bertemu dengan Kelantan kembali, saya mahu para pemain mempertingkatkan momentum mereka lagi dan memperbaiki kelemahan yang ada,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan di sini, malam tadi.

Terdahulu pada perlawanan itu Melaka United yang beraksi di hadapan lebih 1,000 penonton di laman sendiri, membuka jaringan pada minit ke-25 menerusi jaringan penyerang import dari Haiti, Sony Norde sebelum Kelantan menyamakan kedudukan sebelum tamat babak pertama perlawanan menerusi gol Shuhei Fukai pada minit ke-43.

Bersambung babak kedua Melaka terus melakukan percubaan dan berjaya menambah jaringan pada minit ke-54 menerusi Adriano Narcizo yang merembat kencang ke arah pintu gol Kelantan menewaskan penjaga gawangnya, Mohammad Fikri Che Soh dan keputusan itu kekal hingga wisel penamat dibunyikan untuk membolehkan skuad Zainal membawa pulang tiga mata.

Mengulas lanjut Zainal berkata walaupun bukan mudah namun berdasarkan prestasi semasa pasukan Hang Tuah itu beliau mahu mencipta sejarah bersama para pemainnya di samping mempunyai keyakinan tinggi dengan kemampuan mereka untuk pergi lebih jauh pada peringkat seterusnya.

“Niat dan hasrat saya amat tinggi, tetapi mulai sekarang saya perlu bentuk pasukan untuk maju hingga ke akhir, insya-Allah suku akhir dan separuh akhir hingga seterusnya, itulah yang saya perlu lakukan.

“Saya juga mengucapkan tahniah, misi kami layak ke suku akhir tercapai atas usaha pasukan daripada pengurusan hingga pemain dan tidak lupa juga kepada penyokong yang pertama kali datang ke stadium untuk memberi sokongan dan kami merindui sorakan mereka,” katanya.

Kemenangan itu membolehkan Melaka United kekal di tangga teratas kumpulan C selepas mengumpul sembilan mata.

Untuk rekod, pencapaian terbaik pasukan Melaka dalam kejohanan bola sepak tertua di Asia Tenggara itu adalah sekadar melepasi peringkat suku akhir pada 2017 dan 2019.

Berkaitan ⇢