Raeesah Khan mengaku berbohong temani mangsa rogol ke balai polis, mohon maaf atas dakwaan palsu

|

views

SINGAPURA: Anggota Parlimen (AP) Raeesah Khan (WP-Sengkang) mengaku di Parlimen pada Isnin (1 Nov) bahawa beliau tidak menemani seorang mangsa rogol ke balai polis seperti yang didakwanya sebelum ini, sambil menambah bahawa kenyataannya berhubung kes tersebut adalah “tidak benar”.

Beliau juga meminta maaf kerana membuat dakwaan polis salah urus kes mangsa serangan seksual.

Cik Raeesah pertama kali menyebut tentang kes itu di Parlimen pada 3 Ogos semasa usulan Parti Pekerja tentang memperkasa wanita.

Menurutnya beliau telah menemani seorang mangsa rogol berusia 25 tahun untuk membuat laporan polis tiga tahun lalu dan mangsa itu menangis kerana seorang pegawai polis didakwa membuat komen tidak sesuai tentang pakaian mangsa dan hakikat bahawa wanita itu minum arak sebelum itu.

Ini mendorong Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal dalam Negeri K Shanmugam untuk bertanya kepada Cik Raeesah di Parlimen pada 4 Oktober bagi perincian kes itu, sambil berkata bahawa dakwaan sedemikian akan disiasat dan dipandang serius. Namun, Cik Raeesah enggan mendedahkan lebih banyak butiran atas sebab kerahsiaan peribadi.

Apabila Encik Shanmugam bertanya kepada Cik Raeesah supaya mengesahkan jika beliau menemani mangsa ke balai polis, beliau mengesahkannya. Encik Shanmugam berkata polis akan terus menyiasat dakwaan tersebut dan mempelawa Cik Raeesah bagi satu temu bual.

Pada 20 Oktober, polis menyatakan Cik Raeesah belum memberi jawapan kepada permintaan bagi butiran tentang kes serangan seksual itu.

Pada Isnin, Cik Raeesah mengaku beliau “tidak berada bersama mangsa di balai polis seperti yang dikongsikan”.

“Anekdot itu dikongsi oleh mangsa dalam sebuah kumpulan sokongan wanita yang mana saya sendiri adalah seorang anggota. Saya tidak berkongsi bahawa saya adalah sebahagian daripada kumpulan itu kerana saya tidak mempunyai keberanian untuk mengaku secara terbuka bahawa saya adalah sebahagian daripadanya ,” kata Cik Raeesah.

Beliau mendedahkan telah menjadi mangsa serangan seksual semasa berusia 18 tahun ketika menuntut di luar negara, dan kejadian itu membuatnya trauma sehingga ke hari ini.

Beliau memohon maaf kepada mangsa yang ceritanya beliau kongsikan di Parlimen, sambil berkata beliau tidak seharusnya mengongsikan hal itu tanpa kebenarannya.

“Kepada mangsa serangan seksual, saya harap ini tidak menghalang anda daripada melaporkan kes serangan yang mereka alami,” katanya.

Cik Raeesah akur beliau dia tidak mengendahkan prinsip mengenai persetujuan dan perbincangan melibatkan mangsa serangan seksual.

“Penting bagi saya untuk menanggung tanggungjawab atas tindakan saya, atas kesilapan saya dan memberitahu hal yang sebenar,” katanya.

Suaranya terketar-ketar semasa memohon maaf.

“Saya ingin memperbetulkan hal ini dengan menarik balik anekdot yang saya kongsi pada 3 Ogos, dan saya ingin meminta maaf kepada Pasukan Polis Singapura,” kata Cik Khan.

“Akhir sekali, saya ingin meminta maaf kepada mangsa yang ceritanya saya kongsi di Parlimen, penduduk di kawasan undi saya, Parti Pekerja, anggota WP dan relawannya.

“Dan kepada keluarga saya, terutama sekali kepada ibu bapa saya. Kepada penduduk Sengkang, saya akan berusaha lebih gigih untuk anda.”

Ketua Dewan Indranee Rajah bangkit untuk berucap setelah permohonan maaf oleh Cik Raeesah.

“Saya ingin mengingatkan anggota Dewan bahawa apabila dakwaan dibuat, para anggota harus bersedia untuk mengetengahkan bukti,” kata Cik Indranee.

Beliau mengemukakan aduan terhadap Cik Raeesah kerana melanggar keistimewaannya Parlimen dan menuta perkara itu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak Istimewa.

Sebagai anggota jawatankuasa, Cik Indranee berkata dirinya dan Encik Shanmugam akan mengundurkan diri daripada kes melibatkan Cik Khan.

– CNA/HA/ha

Berkaitan ⇢