Bomba selamatkan 32 murid, guru terperangkap dalam banjir

|

views

Jabatan Bomba dan Penyelamat menyelamatkan 32 guru dan murid Sekolah Kebangsaan Seri Serdang, Seri Kembangan dekat sini yang terperangkap dalam banjir selepas sekolah mereka dinaiki air kira-kira setinggi paras pinggang berikutan hujan lebat petang semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata mangsa yang terperangkap terdiri daripada 18 guru iaitu 13 wanita dan lima lelaki manakala murid seramai 14 orang yang terdiri daripada 11 lelaki dan tiga perempuan.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan berkenaan kejadian terbabit pada 7.45 malam dan usaha menyelamat mangsa berkenaan dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia.

“Guru dan murid berada dalam keadaan selamat. Kesemua murid Tahun 1 dan Tahun 2 itu kini telah berjaya dikeluarkan jam 9.35 malam menggunakan lori (dan pacuan empat roda) serta diserahkan kepada ibu bapa masing-masing manakala guru diselamatkan kurang setengah jam kemudian,” katanya kepada Bernama, semalam.

Beliau berkata, paras banjir di sekolah terbabit mulai surut dan kesemua mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba dari lokasi kejadian kira-kira pukul 10 malam tadi. – Bernama

Berkaitan ⇢