UMT kekal dalam senarai 200 universiti terbaik di Asia

|

views

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) kekal dalam kelompok 200 universiti terbaik di Asia apabila berjaya meraih kedudukan ke-167 dalam penarafan QS Asia University Ranking 2022 dengan lonjakan 28 anak tangga berbanding kedudukan ke-195, tahun lepas.

Naib Canselor UMT Prof Dr Mazlan Abd Ghaffar berkata UMT mencatat peningkatan buat tahun keempat berturut-turut sejak  2019 sekali gus menyaksikan UMT berada pada kedudukan ke-16 universiti terbaik di Malaysia.

Beliau berkata pencapaian memberangsangkan UMT itu menunjukkan tekad universiti untuk meningkatkan kualiti dan prestasi secara konsisten dalam pembelajaran, penyelidikan inovasi dan pemindahan ilmu dengan matlamat untuk menjadi sebuah institusi pengajian tinggi yang dihormati.

“Kejayaan ini turut menyaksikan prestasi UMT naik dalam hampir semua indikator yang dinilai, dengan indikator pengantarabangsaan menyumbang markah tertinggi walaupun saat dunia masih berdepan dengan pandemik COVID-19.

“Kejayaan ini selari dengan usaha UMT dalam memperkukuhkan kerjasama antarabangsa dan menunjukkan strategi keterlihatan global yang dilaksanakan di bawah Pelan Strategik UMT (PSUMT) 2018-2022 adalah berhasil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, kejayaan itu juga adalah hasil komitmen dan kerjasama seluruh warga UMT dalam meningkatkan produktiviti yang berkualiti dalam usaha menempatkan universiti ini dalam kedudukan universiti terbaik dunia.

“Pencapaian ini semestinya akan menyemarakkan lagi semangat warga UMT untuk terus maju dalam memenuhi visi UMT sebagai sebuah universiti berfokus marin terunggul dalam negara dan dihormati di peringkat global,” katanya.

QS Asia University Ranking ialah agensi beroperasi di United Kingdom yang membuat penarafan untuk 687 universiti utama di Asia.

Berkaitan ⇢