Kertas Pandora: Tiada keprihatinan ketara penggubahan wang haram oleh institusi kewangan S’pura

|

views

SINGAPURA: Pembocoran besar-besaran rekod kewangan yang dipanggil Kertas Pandora “tidak menimbulkan keprihatinan ketara” berhubung penggubahan wang haram dan pembiayaan bagi keganasan oleh institusi-institusi kewangan di Singapura, kata Menteri Kewangan Lawrence Wong di Parlimen hari ini (3 Nov).

Beliau menjawab pertanyaan oleh dua Anggota Parlimen tentang sama ada Penguasa Kewangan Singapura (MAS) sedang menyiasat hal itu, setelah ia dilaporkan bahawa nama syarikat berpangkalan di Singapura, iaitu Asiaciti Trust dinyatakan dalam dokumen bocor tersebut.

Menurut dokumen-dokumen itu, Asiaciti Trust membantu sekurang-kurangnya 25 anggota politik untuk menubuhkan dan menguruskan syarikat-syarikat amanah dan tersedia dalam bidang kuasa rahsia.

“Berdasarkan penilaian MAS dan maklumat yang ada sejauh ini, Kertas Pandora tidak menimbulkan sebarang keprihatinan ketara berhubung kawalan antipenggubahan wang haram dan langkah memerangi pembiayaan keganasan (AML/CFT) oleh institusi-institusi kewangan kami,” kata Encik Wong.

“Sekalipun demikian, MAS sedang mendampingi institusi-institusi relevan untuk menilai jika langkah-langkah kawalan perlu diperketat.”

Selain Asiaciti Trust, Trident Trust Company Singapore turut dinyatakan dalam Kertas Pandora.

Kedua-duanya adalah syarikat perbadanan amanah asing yang mempunyai anak syarikat di Singapura. Kedua-duanya diberi lesen dan dikawal oleh MAS, kata Encik Wong.

Sebelum kebocoran dokumen itu, kedua-dua syarikat tersebut sudah dikenakan tindakan pengawalseliaan dan penguatkuasaan di Singapura.

Asiacity Trust Singapore membayar saman S$1.1 juta pada Julai tahun lalu kerana gagal melaksanakan prosedur dan dasar-dasar AML/CFT. Pada September tahun lalu, Trident Trust Company diarahkan supaya memperbetulkan kelemahan-kelemahan yang dikesan dalam kawalan penilaian risikonya.

Konsortium Antarabangsa bagi Wartawan Penyiasatan (ICIJ) merupakan yang pertama untuk memperolehi dokumen-dokumen yang dibocorkan itu lalu mengongsikannya bersama 150 pertubuhan media untuk memulakan siasatan selama hampir dua tahun. Dapatan mereka diterbitkan pada 3 Oktober.

Walaupun ICIJ menyatakan ia tidak salah untuk menyimpan aset di luar pesisir atau menggunakan syarikat-syarikat tersedia untuk menjalankan perniagaan merentasi sempadan negara, urus niaga sedemikian “sering kali melibatkan pindahan keuntungan yang diperolehi daripada negara-negara bercukai tinggi kepada syarikat-syarikat yang hanya wujud dalam dokumen dalam bidang kuasa bercukai rendah”.

ICIJ melaporkan bahawa 336 individu terkenal dari seluruh dunia menubuhkan struktur luas pesisir untuk menyimpan aset masing-masing dengan bantuan 14 penyedia khidmat yang beroperasi di sekurang-kurangnya 38 bidang kuasa.

Encik Wong berkata MAS “memandang serius” terhadap segala pendedahan itu.

Beliau berkata Singapura, sebagai sebuah pusat kewangan utama, sentiasa akan berdepan risiko aliran kewangan secara haram namun beliau menegaskan bahawa Pemerintah memandang serius kewibawaan sektor kewangannya.

“Apa yang penting adalah kami memantau institusi-institusi kewangan kami dengan teliti dan mengambil tindakan penguatkuasaan tegas sewajarnya bagi mengurangkan risiko ini sebaik mungkin,” katanya.

Berkaitan ⇢