19.5% lagi ke fasa endemik

|

views

BANDAR SERI BEGAWAN – Seramai 353,399 orang sudah pun menerima satu dos vaksin COVID-19 iaitu bersamaan 82.2 peratus daripada jumlah penduduk negara setelah 5,674 individu lagi di seluruh negara telah menerima suntikan vaksin COVID-19 di bawah Program Vaksinasi Kebangsaan, kelmarin, 1 November.

“Manakala, 260,338 orang telah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 iaitu 60.5 peratus daripada jumlah penduduk negara,” tambah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Dengan jumlah tersebut juga, kini negara memerlukan 9.5 peratus sahaja lagi daripada jumlah penduduk negara untuk melengkapkan dua dos vaksin bagi mencapai 70 peratus untuk beralih daripada fasa persiapan kepada fasa peralihan, dan 19.5 peratus lagi untuk beralih ke fasa endemik.

Sehubungan itu, kini Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan sebanyak 613,737 jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan dos kedua, sejak ia mula diberikan pada 3 April 2021.

Daerah Brunei dan Muara mencatatkan jumlah pemberian vaksin tertinggi iaitu sebanyak 391,267 dos, diikuti dengan Daerah Belait sebanyak 81,275.

Manakala Daerah Tutong mencatatkan sebanyak 71,191 dos dan Daerah Temburong sebanyak 70,004 dos.

Berkaitan ⇢