Jualan Proton melebihi jumlah jualan 2020 sebanyak 1.6 peratus, 13,362 kereta dijual pada Okt 2021

|

views

Proton telah melepasi jumlah jualan tahunan setakat ini berbanding tahun lepas dengan menjual 13,362 unit pada Oktober 2021 dan jualan terkumpul kini sebanyak 86,379 unit – peningkatan sebanyak 1.6 peratus daripada jualan 10 bulan pertama tahun 2020 (84,999 unit).

Menurut Proton, pencapaian itu melangkaui prestasi jumlah jualan industri (TIV) bagi pasaran automotif tempatan, yang telah menurun sebanyak 4.7 peratus walaupun dengan jualan melebihi 65,000 unit buat kali pertama pada Oktober untuk tahun 2021.

Unjuran pegangan pasaran bagi bulan tersebut adalah sebanyak 20.5 peratus manakala pegangan pasaran bagi tempoh sama berbanding tahun lepas adalah sebanyak 22.7 peratus.

“Proton Saga terus menerajui pencapaian jualan dengan 5,107 unit telah dijual pada Oktober, menandakan telah tiga kali model tersebut melepasi jualan melebihi 5,000 unit tahun ini.

“Dalam tempoh yang sama berbanding tahun lepas, Saga juga kekal sebagai peneraju jualan bagi sedan segmen-A yang tidak boleh dipertikaikan dan pilihan untuk pembeli yang mahukan kereta mampu milik dengan ciri-ciri terkini dan mempunyai dinamik perlumbaan yang terbukti,” menurut Proton dalam kenyataan hari ini.

Katanya dua lagi peneraju jualan syarikat ialah model SUV (kenderaan utiliti sukan), iaitu Proton X50 dan Proton X70.

“SUV segmen-B Proton X50 beroleh kejayaan terbaik bulan lepas sejak pelancarannya dengan jualan sebanyak 3,839 unit. SUV yang lebih besar, Proton X70 mengekalkan momentum dengan jualan sebanyak 2,165 pada Oktober, hasil terbaik sejak Mac tahun ini,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Roslan Abdullah berkata jualan Proton pada Oktober boleh disimpulkan sebagai permintaan daripada pelanggan yang tinggi dan potensi jualan yang belum direalisasikan.

“Sementara kita gembira dengan populariti Proton Saga dan pencapaian kedua-dua model SUV, kita terlepas untuk meningkatkan jumlah jualan oleh kerana kami berusaha untuk memperoleh bekalan komponen.

“Permintaan pasaran dijangka kekal kukuh menjelang akhir tahun dan kami akan berusaha dengan lebih gigih untuk memastikan tahun 2021 ditutup dengan kejayaan yang besar,” katanya.

Mengenai pembentangan Bajet 2022 baru-baru ini yang mengumumkan Cukai Perkhidmatan dan Jualan (SST) bagi industri automotif akan dilanjutkan kepada 30 Jun 2022, Proton berkata ini bukan sahaja membawa khabar gembira kepada pemain industri tetapi juga kepada pelanggan mereka.

Bagi Proton, ini bermakna pembeli yang sabar menunggu kenderaan baharu mereka tidak lagi perlu bimbang akan kehilangan insentif jika kenderaan mereka diserahkan pada tahun depan.

“Ia memberikan kami peluang untuk menunaikan tempahan yang telah diterima dan tidak memberikan kesan yang tidak adil kepada pelanggan yang telah menunggu sekian lama akibat sesuatu yang luar daripada kawalan mereka.

“Kami menjangka lanjutan tersebut akan meningkatkan jualan sehingga separuh pertama tahun depan apabila kemungkinan banyak model akan diperkenalkan di pasaran,” katanya.

Berkaitan ⇢