PRN Sarawak: Rekod perkhidmatan cemerlang aset besar GPS

|

views

Walaupun nama Gabungan Parti Sarawak (GPS) hanya muncul secara rasmi pada 2018, hakikatnya parti itu mempunyai rekod perkhidmatan cemerlang yang cukup lama dalam mentadbir negeri Sarawak.

Malah, rekod perkhidmatan parti-parti dalam gabungan  itu – Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) – mampu menjadi aset dan modal besar untuk menang besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 akan datang.

Keyakinan untuk memegang mandat baharu di Sarawak dalam tempoh lima tahun seterusnya disuarakan Setiausaha Agung GPS Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, walaupun parti itu buat pertama kali bakal bergerak sendiri selepas keluar daripada gabungan Barisan Nasional (BN) pada Jun 2018, dan tidak lagi menggunakan simbol dacing pada PRN kali ini.

“Berapa jumlah kerusi yang akan dimenangi saya tidak mahu buat ramalan, tapi track record kita ini adalah modal besar lebih-lebih lagi dalam dua tiga tahun kebelakangan ini sahaja projek pembangunan kerajaan negeri berlipat ganda,” katanya dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini.

GPS akan bertanding di semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN ke-12.

Sebagai individu yang mendaftarkan GPS dan logo itu sendiri, Nanta berkata walaupun penggunaan logo Kenyalang mungkin menimbulkan sedikit kekeliruan kepada pengundi, namun beliau berkata ‘tidak banyak boleh merisaukan’ kerana baginya rakyat tahu siapa yang bekerja.

Katanya, cabaran mungkin tertumpu kepada muka-muka baharu akan dicalonkan pada PRN nanti, namun mahu tidak mahu generasi muda yang lebih bertenaga perlu juga diketengahkan dan diberi peluang menjadi calon.

“Walaupun muka baharu sebagai calon, tapi mereka ini bukan orang asing dalam kalangan rakyat, sebab itu kita pilih mereka jadi calon. Saya sudah lima kali bertanding (kerusi Parlimen), menang besar tiga kali, dua kali tanpa bertanding, saya tidak pernah over confident. Lebih baik kalau kita bersedia selengkap-lengkapnya jangan terlalu yakin hingga kita leka dengan persediaan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kapit.

Nanta berkata Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap pembangunan infrastruktur dan sosioekonomi Sarawak, sama ada bandar mahu pun luar bandar.

Tidak hanya sekadar janji kosong, beliau berkata perkara itu dibuktikan dengan penubuhan Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA), Badan Pembangunan Tanah Tinggi (HDA), Badan Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) dan Jawatankuasa Pembangunan Sri Aman (SADA) misalnya bagi mencungkil potensi daerah dan kawasan berkenaan.

Sementara itu, Nanta yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata perjuangan Sarawak dalam menuntut hak sepertimana terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), satu daripadanya untuk mendapat sumber kewangan lebih besar, adalah untuk faedah rakyat negeri itu.

Beliau berkata misalnya dengan pelaksanaan cukai jualan lima peratus ke atas produk petroleum dieksport yang membolehkan Sarawak mendapat tambahan kira-kira RM3 bilion setahun, ia disalurkan semula kepada rakyat bagi membantu mereka

“Rakyat faham mengapa kita bersungguh-sungguh minta hak kita…kita bersungguh-sungguh mohon bayaran lima peratus ini, jadi kerajaan guna untuk projek, tangani masalah COVID-19, bakul makanan, semua lengkap,” katanya.

Bukan hanya projek pembangunan fizikal, Nanta berkata sewaktu pandemik COVID-19, Kerajaan Negeri Sarawak banyak menggunakan dana sendiri bagi membantu mereka yang terkesan dengan pandemik itu selain bantuan daripada Kerajaan Persekutuan.

Malah, katanya kadar vaksinasi lengkap cepat di Sarawak sebelum ini juga disumbang faktor kerajaan negeri mengeluarkan dana sendiri bagi membantu pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk bergerak ke kawasan pedalaman yang sukar dihubungi bagi memberikan suntikan vaksin COVID-19.

Ketua Menteri juga memperkasa peranan dan tanggungjawab wakil-wakil rakyat GPS dengan pemberian peruntukan bagi mereka ‘melayan’ dengan sebaiknya kawasan masing-masing, termasuk memberikan bantuan bakul makanan ketika COVID-19 dan bantuan persekolahan.

“Bagi saya kita bukan sekadar berjanji tapi kita sudah buktikan (dengan) kerajaan dipimpin Ketua Menteri dan ahli kabinet di Sarawak,” katanya.

Berkaitan ⇢