Wanita meninggal sesak nafas di Buhey Dulang, pengunjung dukung mangsa turun

|

views

SEMPORNA – “Sebaik menerima panggilan rakan mengatakan seorang wanita pengsan, saya segera berlari turun dari puncak pulau ke lokasi kejadian bagi memberikan bantuan,” kata seorang pengunjung berhubung kematian seorang wanita ketika mendaki di Pulau Buhey Dulang, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10.13 pagi itu, mangsa, Rozlina Sharina Rosedi, 40, dilaporkan meninggal dunia selepas mengadu diserang asma.

Pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Man, 48, itu berkata, sebelum kejadian, dia sempat menemui mangsa dan rakannya ketika dalam perjalanan menuju ke puncak bukit.

“Saya melihat mereka mengibas baju beberapa kali dalam keadaan wajah yang tidak selesa.

“Saya sempat bertanyakan keadaannya dan dimaklumkan mangsa mengalami asma,” katanya kepada Getaran.

Selepas memeriksa keadaan mangsa, Man meneruskan pendakian, sebelum mendapat tahu mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri tidak lama kemudian.

“Saya segera berlari turun ke bawah, dan berjaya menemui mereka di lokasi sama.

“Beberapa pengunjung lain termasuk seorang doktor cuba memberi bantuan awal kecemasan dan pernafasan,” katanya.

Man mendakwa, ketika itu masih terdapat denyutan nadi pada mangsa dan dimaklumkan dia perlu dibawa ke hospital dengan segera.

Dia memberitahu, mereka menunggu agak lama, namun tiada kelibat petugas Taman Taman Sabah (TTS) tiba di lokasi, walaupun sudah dimaklumkan perkara tersebut.

“Malah sepanjang pendakian sehingga ke puncak, saya tidak melihat seorang pun petugas TTS kecuali di bahagian bawah dan jeti.

“Kami terpaksa membawa mangsa turun dengan mendukungnya sebelum bertembung dengan empat orang petugas TTS yang membawa pengusung dan menyerahkan wanita tersebut kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Semporna Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Semporna.

“Mangsa bersama dua rakannya pergi ke pulau berkenaan bagi tujuan riadah dan percutian.

“Bagaimanapun ketika sedang mendaki di Pulau Buhey Dulang, mangsa mengadu sesak nafas dan pengsan,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Besar Tawau untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – Getaran, 5 November 2021

Berkaitan ⇢