Banjir kilat di Kota Tinggi, 34 mangsa dipindahkan

|

views

JOHOR BAHRU — Tiga puluh empat mangsa banjir dipindahkan ke sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka di Dewan Kampung Baru Sungai Mas, Penawar dekat Kota Tinggi susulan hujan lebat yang berterusan selama lebih dari dua jam di kawasan itu petang tadi.

Menurut kenyataan dikeluarkan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kota Tinggi, PPS yang dibuka pada pukul 8 malam itu menempatkan seramai 34 mangsa daripada lapan keluarga dari kawasan Kampung Baru Sungai Mas selepas kediaman mereka dinaiki air.

“Hujan lebat yang berterusan selama lebih dari dua jam yang menyebabkan kenaikan air dan banjir kilat di kawasan kampung berkenaan.

“Pasukan penyelamat telah sampai di lokasi pada jam 6.50 petang dan membawa kesemua mangsa yang terjejas ke Dewan Kampung Baru Sungai Mas,” menurut kenyataan itu.

Sehingga kini kawasan berkenaan dilaporkan masih mengalami hujan gerimis dan pemantauan akan dilakukan dari semasa ke semasa.

Berkaitan ⇢