PRN Melaka: King Maker pertaruh 7 calon PRN Melaka

|

views

PAS hari ini memuktamadkan senarai calonnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan menampilkan tujuh individu yang akan bertanding di bawah tiket Perikatan Nasional (PN).

Barisan calon yang turut menyaksikan seorang wanita itu adalah Aziah Mohd Sa’ad di Kuala Linggi, Abu Hashim Abdul Samad (Tabong Naning), Ja’afar Othman (Durian Tunggal), Bakri Jamaluddin (Kelebang), Muhammad Al Afiz Yahya (Bukit Katil), Kamarudin Sidek (Duyong), Ahmad Bilal Rajaudin (Serkam) dan Abd Alim Shapie (Merlimau).

Peletakan calon itu menyaksikan PAS bakal berdepan pertandingan tiga penjuru dengan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di tujuh kawasan berkenaan.

Menurut Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, peletakan calon PAS di bawah logo Perikatan Nasional (PN) yang turut menyaksikan gabungan bersama antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), GERAKAN, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah adalah pendekatan tepat bagi menonjolkan perpaduan masyarakat majmuk di negara ini.

“Kita harapkan rakyat yang akan mengundi pada PRN Melaka memilih PN dan parti bergabung. Kita yakin rakyat negeri ini berani melakukan pembaharuan dengan memilih PN.

“Kami yakin calon yang (PAS) kemukakan ini dapat menunaikan tanggungjawab dengan baik dan sempurna,” katanya.

Beliau berkata demikian secara maya pada Majlis Pengumuman Calon PN, di sini.

Pengumuman itu dibuat Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Turut hadir, Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau dan Pengerusi PN Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

Abdul Hadi berkata, PAS memilih untuk bekerjasama dengan PN dan menggunakan logo yang sama atas dasar keyakinan terhadap pentadbiran pakatan itu.

Jelasnya, kerajaan pimpinan Muhyiddin berjaya membuktikan perkhidmatan yang baik kepada rakyat walaupun mentadbir dalam tempoh pendek sebelum ini.

“Gabungan kita pilih juga mestilah besar dan kuat yang mampu membuat perubahan walaupun apa dilakukan tidak dijanjikan.

“Lebih baik menunaikan kewajipan sebagai kerajaan tanpa berjanji daripada berjanji tetapi tidak tunaikan,” katanya.

PRN Melaka diadakan selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri berkenaan mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik semula sokongan kepada kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sehingga menyebabkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

Mereka terdiri daripada ADUN BN di Sungai Undang yang juga bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron; ADUN Pantai Kundor (BN), Datuk Nor Azman Hassan; ADUN Pengkalan Batu (Bebas), Datuk Norhizam Hassan Baktee dan ADUN Telok Mas (BERSATU), Datuk Noor Effandi Ahmad.

Pada PRN Melaka PAS tidak menggunakan lambang sendiri kerana kalau digunakan sekalipun bukan setakat kalah sahaja, malah HILANG DEPOSIT. Sebab itu mereka menolak tawaran Umno untuk PAS bertanding menggunakan lambang parti mereka sendiri.

PAS hilang wang pertaruhan di 10 kawasan DUN pada PRU-14:
1. Kuala Linggi
2. Rembia
3. Machap Jaya
4. Asahan
5. Paya Rumput
6. Pengkalan Batu
7. Ayer Keroh
8. Bukit Katil
9. Rim
10.Merlimau

Berkaitan ⇢