4 kes sindrom radang pelbagai sistem dikesan dalam kanak-kanak dijangkiti COVID-19 – MOH

|

views

Singapura mengesan empat kes sindrom yang “jarang berlaku”, menjejas kanak-kanak yang dijangkiti COVID-19, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu kenyataan media pada lewat Sabtu malam (6 Nov).

Empat kes itu adalah dalam kalangan lebih 8,000 kes COVID-19 melibatkan kanak-kanak di Singapura, sejak pandemik bermula.

Iklan

Empat kanak-kanak itu mengalami apa yang dipanggil Sindrom Radang Pelbagai Sistem dalam Kanak-kanak (MIS-C), yang boleh menyebabkan keradangan pada jantung, paru-paru dan buah pinggang.

Salah seorang daripada mereka, berusia empat tahun, dimasukkan ke unit rawatan rapi kanak-kanak (CICU) pada Isnin lalu.

Seorang dirawat di wad biasa manakala dua lagi sudah keluar hospital.

Mereka berusia dua bulan hingga lapan tahun.

Kesemuanya dimasukkan ke hospital antara bulan Oktober dan November tahun ini.

Menurut MOH, seorang budak lelaki tiga tahun dimasukkan ke CICU Hospital Universiti Nasional (NUH) pada 16 Oktober.

Dia berulang kali diuji negatif bagi ujian PCR namun keputusan ujian serologi budak itu menunjukkan dia mungkin dijangkiti COVID-19 dua hingga enam minggu sebelum mengalami MIS-C.

Kanak-kanak itu sudah pulih dan dibenarkan keluar hospital pada 23 Okt.

Seorang budak lelaki lapan tahun, pula dimasukkan ke CICU Hospital Wanita dan Kanak-kanak KK pada 27 Okt.

Dia sebelum ini didiagnos dijangkiti COVID-19 pada 30 Sep. Budak itu sudah pulih dan dibenarkan keluar hospital pada 1 Nov.

Dalam pada itu, seorang budak lelaki empat tahun dimasukkan ke CICU KKH pada 1 Nov. Sehingga Ahad, dia masih dirawat di CICU dan dibantu alat pernafasan mekanikal.

Kanak-kanak itu diuji positif COVID-19 pada 24 Sep dan pasukan paediatrik KKH sedang memantau dengan rapi penjagaannya, kata MOH.

Seorang bayi perempuan berusia dua bulan kini dirawat di wad biasa KKH sejak 3 Nov lalu. Dia sebelum ini dimasukkan ke KKH kerana dijangkiti COVID-19 pada 12 Okt dan dibenarkan keluar hospital pada 19 Okt.

“Keadaan pesakit kekal stabil, dan tidak memerlukan bantuan oksigen,” kata MOH.

MOH menambah semakan antarabangsa pada Mei tahun lalu mendapati, 14 daripada 10,000 kanak-kanak yang dijangkiti COVID-19, mengalami keadaan itu.

“MIS-C adalah serupa dengan penyakit Kawasaki yang dikaitkan dengan pelbagai jangkitan virus atau bakteria dan menjejas 150 hingga 200 kanak-kanak di Singapura setiap tahun.

“Simptom MIS-C termasuk demam panas dengan suhu badan melebihi 38.5 darjah Selsius selama tiga hari atau lebih lama lagi, sukar bernafas, sakit kepala, ruam, tangan dan kaki bengkak, cirit birit atau sakit perut,” kata MOH.

Memandangkan sindrom itu dikaitkan dengan jangkitan COVID-19, langkah-langkah seperti memakai pelitup, jarak selamat dan membersihkan tangan penting untuk mengurangkan risiko, tambah MOH.

– CNA/SU/tq

Berkaitan ⇢