Pelabur asing punyai keyakinan tinggi untuk melabur di Sarawak — Ketua Menteri

|

views

BINTULU — Pelabur asing mempunyai keyakinan tinggi untuk melabur lebih banyak di Sarawak berikutan keupayaan pentadbiran kerajaan negeri yang kukuh kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg. 

Selain itu, katanya, keyakinan itu juga adalah hasil daripada keupayaan kerajaan negeri Sarawak untuk melaksanakan dan menyiapkan pelbagai projek ditambah dengan persekitaran politik yang stabil.

“Pertamanya, pelabur asing ini mempunyai keyakinan tinggi terhadap Sarawak kerana kita boleh melaksanakan pelbagai projek. Kedua kerana orang Sarawak sangat mesra dan ketiga, yang mana paling penting, adalah kestabilan politik di Sarawak,” katanya pada sidang akhbar selepas kunjungan beliau ke tapak Projek Metanol Sarawak di Tanjung Kidurong, di sini, hari ini.

Turut hadir termasuklah Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Utiliti Negeri Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom dan Pengerusi Sarawak Petchem Sdn Bhd Tan Sri Datuk Amar Dr Abdul Aziz Husain.

Abang Johari berkata beliau kagum dengan kemajuan fizikal projek tersebut yang dimulakan pada Sept 2019.

Menurutnya, projek itu menandakan satu lagi pencapaian penting bukan sahaja untuk mengindustrikan Sarawak tetapi apa yang lebih penting untuk menikmati aspirasi bagi syarikat Sarawak meneroka ke dalam industri minyak dan gas, terutamanya dalam sektor petrokimia hiliran.

“Kita mahu memaksimumkan penggunaan gas asli menerusi industri hiliran di Sarawak.

“Dalam berbuat demikian, kita mahu Bintulu menjadi hab petrokimia di Sarawak menerusi penubuhan Hab Petchem Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) bagi merealisasikan objektif ini,” katanya.

Abang Johari berkata projek itu dijangka menjana lebih banyak peluang pekerjaan semasa pembinaan projek mega tersebut yang dijangka memiliki jumlah tenaga kerja mencecah  4,500 orang dan kira-kira 300 kakitangan semasa operasi penuhnya.

“Ketika ini, Sarawak Petchem telah memulakan tahun pertama Program Latihan Juruteknik (TTP) secara kerjasama dengan Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP).

“Kesemua pelatih adalah orang Sarawak dan terdapat 74 pelatih yang sedang menjalani TTP di INSTEP ketika ini, manakala kumpulan kedua seramai 42 pelatih akan melapor di INSTEP pada 21 Nov, 2021,” katanya.

Kilang Projek Metanol Sarawak itu merupakan kemudahan mega pertama negeri itu dan yang kedua di negara ini selepas Labuan.

Cadangan kilang metanol itu dijangka menghasilkan 5,000 tan metrik sehari atau atau 1.7 juta tan setahun metanol dengan menggunakan 160 juta kaki padu standard setiap hari gas asli sebaik sahaja ia beroperasi penuh.

Berkaitan ⇢