Masjid, surau sedia dibuka

|

views

BANDAR SERI BEGAWAN – Semua masjid, surau dan balai ibadat di negara ini akan dibuka semula pada 19 November bermula dengan sembahyang fardu Subuh, sembahyang fardu Jumaat dan sembahyang-sembahyang berikutnya semasa Fasa Peralihan nanti.

Ke arah itu, satu garis pan-duan telah ditetapkan hasil daripada perbincangan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) bersama Kementerian Kesihatan dan dibawa kepada Jawatankuasa Kesejahteraan dan Kebajikan seterusnya mendapat ketetapan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pandu COVID-19 yang diadakan 9 November lalu.

Menteri Hal Ehwal Ugama Brunei, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman menjelaskannya semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, pada hari ini, bertempat di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.

“Dan sesuai juga dengan keputusan MUIB itu, pembukaan masjid-masjid tersebut adalah untuk mendirikan sembahyang fardu lima waktu dan sembahyang fardu Jumaat sahaja.

“Adapun aktiviti-aktiviti keagamaan yang lainnya belum boleh diadakan sehingga ke satu keadaan yang dirasakan lebih selamat,” tambah Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama semasa mengongsikan mengenai garis panduan pembukaan semula masjid, surau dan balai ibadat ketika sidang media kelmarin.

Yang Berhormat Pehin kemudiannya menjelaskan lebih lanjut mengenai butir-butir lengkap garis panduan tersebut.

Menurut beliau, semasa Fasa Peralihan nanti, hanya jemaah dan orang ramai yang berumur 18 tahun ke atas dan lengkap dua dos vaksin sahaja yang akan dibenarkan bersembahyang fardu Jumaat dan sembahyang fardu lima waktu di masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara termasuk surau-surau di bawah kawalan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Pasukan Polis Diraja Brunei. Manakala sembahyang fardu lima waktu dibenarkan untuk jemaah lelaki dan perempuan.

Beliau juga menambah bahawa kapasiti masjid bagi sembahyang fardu Jumaat adalah tertakluk kepada keluasan ruang dalam dan luar masjid setelah dilakukan penjarakan satu tikar sembahyang berukuran besar.

Setelah itu, beliau menjelaskan mengenai perkara-perkara yang tidak dibenarkan untuk hadir ke masjid, surau dan balai ibadat seperti jemaah yang mempunyai simptom dan berisiko tinggi.

Selain itu, beliau menambah bahawa masjid-masjid belum dibenarkan untuk mengadakan sebarang aktiviti-aktiviti takmir masjid dan tidak bersalaman.

Menurut Yang Berhormat Pehin lagi, ada beberapa perkara yang dimestikan untuk para Jemaah yang hendak pergi ke masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat.

“Bagi sembahyang fardu Jumaat, jemaah dikehendaki membuat tempahan menggunakan aplikasi BruHealth serta mendapat kelulusan kod berwarna hijau atau kuning dan hendaklah membawa tikar sembahyang sendiri (berukuran besar) serta mereka dikehendaki berwuduk sebelum ke masjid,” jelas beliau.

Berkaitan ⇢