Komuniti Malaysia di Brunei sumbang RM24,800 kepada Tabung COVID-19 Brunei

|

views

BANDAR SERI BEGAWAN — Komuniti Malaysia di Brunei menyumbang RM24,800 (B$8,000) kepada Tabung COVID-19 Relief Fund sebagai usaha menyokong inisiatif kerajaan Brunei mendepani cabaran gelombang kedua COVID-19.

Sumbangan tersebut diserahkan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Datuk Raja Reza Raja Zaib Shah kepada Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Brunei Maswadi Mohsin pada Isnin.

“Bantuan ini adalah inisiatif Suruhanjaya Tinggi Malaysia bersama Persatuan Warganegara (PWM) Malaysia di Brunei,” menurut kenyataan suruhanjaya itu hari ini.

Ini merupakan sumbangan kedua komuniti Malaysia kepada tabung tersebut. Sebelum ini, mereka telah menyerahkan sumbangan sebanyak RM31,000 (BND10,000).

Pada masa kini dianggarkan kira-kira 30,000 rakyat Malaysia menetap, bekerja dan belajar di Brunei.

Menurut kenyataan itu, sumbangan tersebut merupakan program tanggungjawab sosial korporat ketujuh anjuran Suruhanjaya Tinggi Malaysia sejak gelombang kedua COVID-19 melanda Brunei pada 7 Ogos 2021.

Antara program lain yang telah dianjurkan termasuk sumbangan makanan kepada petugas barisan hadapan di hospital dan pusat kuarantin COVID-19 di seluruh negara.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia turut menyumbangkan bakul makanan kepada rakyat Malaysia yang terkesan akibat COVID-19 melalui konsep pandu lalu dan menganjurkan Program Derma Darah Bersama Komuniti Malaysia bagi menyahut seruan Pusat Pendermaan Darah, Brunei yang sedang mengalami kekurangan bekalan.

Setakat hari ini jumlah kes COVID-19 di Brunei adalah sebanyak 14,269 kes.

 

Berkaitan ⇢