Seludup 17 PATI, tekong darat dicekup

|

views

TAWAU – Seorang lelaki tempatan ditahan selepas didakwa menyeludup 17 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia, di Batu 1, Jalan Apas, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, suspek, 31, didakwa membawa semua PATI berkenaan yang berusia antara enam bulan hingga 50 tahun menaiki sebuah pacuan empat roda.

Kesemua pendatang itu baru tiba dari Sungai Nyamuk, Indonesia ke perkampungan atas air di Batu 4, Jalan Apas sebelum dibawa menaiki kenderaan yang dipandu tekong darat tersebut.

Bagaimanapun, pergerakan mereka diketahui Pasukan Polis Marin (PPM) yang membuat intipan lebih awal sebelum menahan kenderaan terbabit ketika berhenti di lampu isyarat.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau, Deputi Superintendan (DSP) Ridzauddin Selamat berkata, hasil pemeriksaan mendapati kenderaan itu sesak dengan penumpang termasuk di bahagian belakang.

“Terdapat lima lelaki, sembilan wanita dan empat bayi serta kanak-kanak berada dalam kenderaan terbabit.

“Hanya pemandu kenderaan memiliki kad pengenalan, manakala selebihnya tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

Tekong darat dan PATI terlibat ditahan susulan insiden, manakala kenderaan mereka bernilai RM68,000 turut dirampas bagi membantu siasatan.

Tambah Ridzauddin, semua suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut.

Suspek lelaki tempatan itu akan disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, manakala PATI disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Imigresen 1959/63.

Berkaitan ⇢