Nisbah remaja dijangkiti COVID-19 naik bulan lalu; digesa ambil vaksin COVID-19

|

views

SINGAPURA: Orang muda harus tidak beranggapan mereka dilindungi daripada COVID-19, justeru tidak memerlukan vaksin, kata pengarah khidmat perubatan Kementerian Kesihatan (MOH) Kenneth Mak pada Sabtu (20 Nov).

“Ada sesetengah mereka yang beranggapan disebabkan mereka masih muda, atau tidak mempunyai sebarang ciri-ciri berisiko tinggi, (dan bersedia) berdepan risiko dijangkiti lalu tidak mengambil vaksin,” kata Profesor Madya Mak di sidang media secara maya oleh pasukan bertindak negara bagi COVID-19.

“Ini bukan satu pendekatan yang selamat,” tegasnya.

Terdapat beberapa kes melibatkan golongan belia yang belum divaksin di unit jagaan rapi, meskipun mereka tidak mempunyai sejarah masalah perubatan sebelum ini.

“Mereka sakit teruk, tidak dijamin akan sembuh dengan baik, (dan kemungkinan) segelintir daripadanya akan mati. Jangan mempertaruhkan nyawa anda dan buat andaian anda akan selamat apabila dijangkiti, meskipun jika tidak divaksin,” kata Profesor Madya Mak.

Purata golongan muda yang dijangkiti COVID-19 meningkat sejak sebulan lalu, manakala bagi warga emas sudah merosot atau kekal stabil.

Sekitar 15.6 peratus daripada kes yang dilaporkan pada Jumaat berusia antara 20 dengan 30 tahun, dianggap sebagai sebahagian daripada kumpulan lebih “aktif secara sosial” dalam masyarakat kerana mereka keluar rumah secara kerap atas tujuan bekerja atau urusan lain. Ia bertambah daripada 14.2 peratus yang dicatatkan empat minggu lalu, katanya.

Dengan Singapura bakal mengakhiri “fasa penstabilan” pengurusan COVID-19 dan melonggarkan langkah-langkah sekatan sosial, beliau memberi amaran tentang kemungkinan kes jangkitan dalam kalangan belia akan meningkat.

“Kita tidak harus bersikap leka dan menganggap semua orang muda yang dijangkiti COVID-19 akan mempunyai kesudahan yang baik,” kata Profesor Madya Mak, sambil menggesa golongan remaja yang belum divaksinasi supaya mendapatkan vaksin.

– TODAY/HA/ha

Berkaitan ⇢