PRN Melaka: Kemenangan besar bukti BN kembali diterima rakyat

|

views

Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hari ini membuktikan rakyat negeri ini mahu gabungan itu kembali menerajui kepimpinan negeri selepas gagal mempertahankan kedudukannya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada 2018.

Kemenangan BN di 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu secara langsung memberinya mandat untuk membentuk dan menguasai kerajaan negeri secara mutlak tanpa perlu sebarang penggabungan daripada parti politik lain seperti yang terpaksa diamalkan oleh kerajaan negeri gabungan UMNO, Bersatu dan seorang DUN bebas sebelum ini.

Kemenangan BN itu juga membuktikan keputusan untuk diadakan PRN Melaka adalah tepat bagi merungkai pemasalahan perkongsian kepimpinan kerajaan negeri dalam kalangan parti-parti politik itu.

PRN Melaka diadakan berikutan penarikan sokongan empat anggota DUN terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada 4 Okt lepas.

Kemenangan BN ini dianggap manis kerana ia bukan sekadar menang majoriti mudah tetapi dapat mengembalikan kemenangan dua pertiga kerusi DUN yang kali terakhir diperolehnya pada sebelum PRU ke-14.

Lebih mengembirakan BN adalah kemenangan dua parti komponennya MCA di DUN Machap Jaya dan DUN Kelebang serta MIC di DUN Gadek setelah suara mereka lenyap daripada persidangan DUN sejak tiga tahun lepas.

Kemenangan MCA dan MIC itu turut memberi keyakinan kepada BN untuk menghadapi dugaan yang lebih besar iaitu PRU ke-15 untuk merampas kembali kepimpinan kerajaan pusat walaupun dalam keadaan beberapa pemimpinnya yang masih berdepan pertuduhan di mahkamah.

Dengan 65.85 peratus yang keluar mengundi daripada 495,195 pengundi berdaftar pada PRN Melaka kali ini, ternyata memberi kelebihan kepada BN.

Penyokong BN khususnya UMNO sedar bahawa adalah penting parti keramat orang Melayu itu kembali diberi mandat untuk menerajui kepimpinan Melaka.

Kemenangan BN di Melaka menepati ramalan pemimpin parti itu berdasarkan beberapa faktor termasuk barisan calon muka baru dan penerimaan ramai terhadap kepimpinan tertinggi parti yang kini dianggotai oleh semua peringkat umur.

PRN Melaka sebaliknya menjadi tamparan hebat kepada Pakatan Harapan (PH) apabila ia hanya memperoleh lima kerusi dengan PKR, pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, gagal memenangi sebarang kerusi.

DAP hanya dapat mempertahankan kerusi DUN Ayer Keroh, Kota Laksamana, Kesidang  dan  Bandar Hilir manakala Amanah di DUN Bukit Katil.

Perikatan Nasional (PN) yang menang kerusi DUN Sungai Udang dan DUN Bemban nampaknya masih belum dapat menambat hati pengundi.

PRN Melaka juga menyaksikan persaingan sengit di tiga DUN iaitu Kelebang, Tanjung Bidara dan Duyong dengan keputusan mengejutkan.

DUN Kelebang, pertembungan tiga penjuru antara calon BN, PN dan PH menyaksikan pungutan undi yang diterima masing-masing hampir menyamai antara satu sama lain iaitu sekitar 4,000 undi.

Kemenangan MCA di DUN Kelebang yang meletakkan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Lim Ban Hong dengan majoriti 876 undi telah mengembalikan keyakinan dan kepercayaan terhadap parti kaum Cina BN itu.

Kerusi DUN Tanjung Bidara, pertembungan sengit calon berpengaruh membabitkan Datuk Mas Ermieyati Samsudin daripada PN dan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, daripada BN, membuktikan pengundi di kawasan itu masih menaruh keyakinan terhadap UMNO.

Ab Rauf, individu yang dilabel sebagai ‘naga’ di Melaka oleh sesetengah pihak, tidak disangka boleh memenangi kerusi itu dengan lebihan 364 undi daripada 3,559 keseluruhan undi walaupun imejnya tercalar berikutan tohmahan pihak tertentu terhadapnya.

Mas Ermieyati meskipun diumumkan sebagai calon ketua menteri PN nampaknya sukar diterima pengundi malah strategi terakhir parti itu kelihatan tidak berjaya mengubah pola pengundian terhadap parti tersebut.

Kerusi DUN Duyong, pertandingan enam penjuru menyaksikan saingan sengit dengan calon BN Mohd Noor Helmy Abdul Halem menang dengan lebihan 200 undi, selepas meraih 4,684 undi.

— BERNAMA

Berkaitan ⇢