Manchester United akan pecat Solskjaer selepas dimalukan Watford

|

views

MANCHESTER – Ole Gunnar Solskjaer dikatakan akan dipecat oleh Manchester United, mengikut laporan media selepas dimalukan 4-1 oleh Watford. 

Solskjaer mengaku beliau ‘malu’ selepas kekalahan kelima pasukannya dalam tujuh perlawanan Liga Perdana Inggeris.

The Times, The Guardian dan Manchester Evening News melaporkan yang satu mesyuarat lembaga tergempar diadakan selepas kekalahan kepada Watford untuk membincangkan pemecatan Solskjaer.

Solskjaer telah menandatangani kontrak baharu pada Julai dan dilaporkan akan menerima pakej pampasan berjumlah £7.5 juta jika dipecat.

Kelab itu telah memberi sokongan kepada Solskjaer ketika rehat perlawanan antarabangsa walaupun tumpas di laman sendiri kepada Liverpool dan Manchester City.

United berbelanja besar musim ini membawa masuk Cristiano Ronaldo, Jadon Sancho dan Raphael Varane tetapi pelaburan itu gagal membawa pulangan baik setakat ini di bawah kendalian Solskjaer.

Status Solskjaer sebagai legenda kelab itu menyaksikan dirinya mendapat sokongan padu daripada penyokong.

Tetapi mereka juga tampak seperti sudah hilang sabar selepas mengejek pengurus dari Norway ketika mengangkat tangannya meminta maaf selepas perlawanan menentang Watford tamat.

United kini berada di tangga ketujuh liga ketinggalan 12 mata di belakang peneraju Chelsea dan sudah tersingkir daripada Piala Liga.

Bekas pengurus Real Madrid Zinedine Zidane, pengendali Leicester Brendan Rodgers dan pelatih Ajax Erik ten Hag dikatakan sebagai pilihan utama untuk menggantikan Solskjaer di Old Trafford. – AFP

Keputusan lain:

Leicester 0 Chelsea 3

Newcastle 3 Brentford 3

Burnley 3 Crystal Palace 3

Aston Villa 2 Brighton 0

Wolves 1 West Ham 0

Norwich 2 Southampton 1

Liverpool 4 Arsenal 0

Berkaitan ⇢