Anwar masih relevan dalam politik negara, ada pengikut tersendiri

|

views

Kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sememangnya tidak dijangka apabila parti itu hanya memenangi lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 28 kawasan ditandingi.

Lebih mengejutkan, kemenangan itu hanya disumbangkan DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH), masing-masing berjaya menawan empat serta satu DUN, bukan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dipimpin tokoh politik terkemuka negara, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebaik keputusan diumumkan, timbul persoalan bagaimana PH mampu tewas di tangan Barisan Nasional (BN), walhal pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 (PRU-14), parti terbabit memenangi negeri berkenaan selepas menakluk 15 kerusi DUN, berbanding 13 diperoleh parti pimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Di sebalik keadaan itu, wujud beberapa dakwaan menerusi ruangan ‘Trending di Malaysia’ di Twitter atas nama Anwar dan DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sejak malam tadi yang mendakwa, beliau sudah tidak lagi relevan sebagai ahli politik.

Malah, mereka mendakwa kemenangan parti terbabit pada PRU-14 adalah disumbangkan faktor ‘wow’dimiliki bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu menyokong perjuangan PH.

Dakwaan itu turut mengatakan, Ahli Parlimen Port Dickson berkenaan sudah tidak memiliki kredibiliti sebagai ahli politik berpengaruh dan menyarankan beliau meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PH demi kebaikan masa depan parti serta negara.

Menjawab dakwaan itu, Penganalisis Politik yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berkata, kenyataan berkenaan tidak tepat kerana Anwar adalah pemimpin yang masih relevan dan memiliki pengaruh tersendiri dalam arena politik negara.

Katanya, Anwar juga mempunyai sokongan daripada pengundi, malah kredibiliti Anwar sebagai pemimpin nombor satu PH masih ada apabila parti itu memenangi lima kerusi PRN Melaka, termasuk di kawasan penduduk Melayu yang ditandingi calon AMANAH, Adly Zahari.

“Jadi kalau orang kata Anwar tidak relevan, saya fikir tidak begitu, hanya Anwar ini dia kurang sokongan, tetapi masih ada (sokongan).

“Cuma orang Melayu tak ramai sokong dia, manakala pengundi di kawasan majoriti bukan Melayu menyaksikan PH menang banyak, maksudnya Anwar relevan,” katanya ketika dihubungi Getaran.

Mazlan berkata, berdasarkan pemerhatian dan kajian dilakukannya, beliau merumuskan kekalahan PH pada PRN Melaka disumbangkan beberapa faktor, termasuk ramai pengundi Melaka berada di luar, manakala pengundi atas pagar pula tidak turun mengundi.

Jelasnya, situasi pengundi Melayu tidak menyokong Anwar kerana mendakwa beliau pemimpin liberal dan terpalit dengan kesalahan tingkah laku turut menyebabkan PH kalah, manakala PKR gagal memenangi sebarang kerusi DUN.

Beliau berkata, masyarakat Melayu sememangnya tidak boleh menerima atau sukar berkompromi dengan perbuatan tidak bermoral seperti itu.

Pada masa sama Mazlan berpendapat, BN bernasib baik kerana memiliki penyokong setia dalam kalangan penduduk kawasan tempatan yang menyumbang kepada 60 peratus keluar mengundi.

BN, katanya, turut memiliki kelebihan apabila dianggap mampu membawa kestabilan disebabkan sudah lama memerintah, berbanding PH, terutama dalam situasi rakyat yang mahukan sebuah kerajaan yang stabil.

“PH bergantung kepada pengundi luar, atas pagar dan lebih muda, jadi apabila mereka ini ramai tidak mengundi, sememangnya memberi kelebihan kepada UMNO yang mempunyai pengundi tradisional tempatan, orang tua serta dewasa menetap di kawasan berkenaan.

“Dahulu (PRU-14), peratusan keluar mengundi lebih 80 peratus dan PH menang sebab pengundi luar dan atas pagar ini balik mengundi. Malah ketika itu, Dr Mahathir menyokong PH dan berjaya menarik 13 ke 15 peratus pengundi Melayu, tetapi sekarang apabila Pengerusi Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG) itu tidak memberikan sokongan, pengundi Melayu lari,” katanya.

Ditanya mengenai kemenangan Perikatan Nasional di dua kerusi DUN, Mazlan menganggap kejayaan itu adalah pencapaian membanggakan bagi sebuah parti yang baharu.

“Pandangan saya, imej ‘abahku’ dibawakan PN memang berjaya sebab kita tengok selain berjaya merebut dua kerusi, banyak kerusi DUN lain parti ini memperoleh undi tinggi, termasuk berada dalam kalangan tiga undi popular selepas BN dan PH.

“Itu menunjukkan gabungan ini mempunyai masa depan dalam pilihan raya, malah boleh memberi saingan di kawasan Melayu, ada penyokong tersendiri,” katanya.

Keputusan PRN Melaka semalam menyaksikan BN menang besar apabila berjaya menakluk 21 kerusi DUN, manakala PH yang menggabungkan PKR, DAP, AMANAH dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) memenangi lima kerusi DUN, sementara PN hanya mampu menguasai dua kerusi DUN.

Berkaitan ⇢