‘Jangan walang, vaksin selamat, berkesan’

|

views

BANDAR SERI BEGAWAN  – Dalam usaha menjaga diri dan menyelamatkan semua orang daripada wabak COVID-19, ibu bapa diseru untuk memberi keizinan kepada anak-anak yang terdiri daripada remaja berumur 12 hingga 17 tahun untuk diberi vaksin.

Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman menyeru orang ramai agar jangan merasa walang untuk bervaksin, kerana vaksin tersebut dikira selamat dari segi syarak dan tidak mengandungi najis yang menghalang kita daripada mengambilnya.

Beliau seterusnya menambah bahawa vaksin tersebut telah dibuktikan berkesan dan selamat serta dapat mengurangkan risiko jangkitan.

Yang Berhormat Pehin menyampaikan nasihat berkenaan pada Majlis Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) bagi minggu ke-10 malam tadi, sebagai ulasan terhadap peratus kecil kalangan warga kementerian dan orang ramai yang berhalangan mengambil vaksin atas beberapa sebab dan di antaranya kerana takut atau memang berniat untuk tidak mengambil vaksin.

Majlis Malam Munajat itu turut disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud.

Turut serta ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar dan Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Dato Seri Paduka Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.

Majlis terus mendapat sambutan yang menggalakkan dengan penyertaan orang ramai dan warga KHEU berserta keluarga masing-masing.

Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah sebelum diisikan dengan bacaan Surah Yasin beramai-ramai, Kemudian, diteruskan dengan Zikir Istighfar dan Taubah beramai-ramai, bacaan Doa bagi Memohon Terhindar dari Wabak COVID-19, Asma’ul Husna dan selawat beramai-ramai. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

Seorang ibu membawa anaknya mendapatkan suntikan vaksin bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun di Pusat Vaksinasi Stadium Tertutup pada hari pertama vaksinasi remaja awal bulan ini.

Berkaitan ⇢