Teh Indonesia bernilai US$4 juta tembusi pasaran Malaysia

|

views

JAKARTA   — Indonesia melalui firma agribisnis milik negara, PT Perkebunan Nusantara III Holding berjaya mengumpulkan nilai jualan teh berjumlah US$4 juta (US$1=RM4.18) di Selangor International Expo Food and Beverage (F&B) 2021.

“Jumlah transaksi ini menunjukkan produk F&B Indonesia sangat diminati pasaran Malaysia,” kata Direktorat Jenderal, Pengembangan Eksport Nasional, Kementerian Perdagangan, Didi Sumedi.

Penyertaan syarikat Indonesia di pameran hibrid selama empat hari berakhir pada 21 Nov di Kuala Lumpur itu bertujuan untuk merangsang eksport sektor F&B Indonesia pasca pandemik COVID-19, katanya dalam kenyataan hari ini.

Penolong Pengurus Pemasaran PT Perkebunan Nusantara III Asep Barkah berkata eksport teh Indonesia ke Malaysia berjumlah antara 8,500 dan 9,500 tan setahun.

Menurut Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono: “Sambutan peniaga di Malaysia sangat tinggi selepas berbulan-bulan mengalami Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan.

“Hal ini boleh dilihat berdasarkan jumlah pengunjung yang jauh melampaui perkiraan sebelumnya.”

Berdasarkan data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, nilai import produk teh dari Indonesia berjumlah RM39.6 juta bagi tempoh Januari-September tahun ini.

Nilai import tersebut naik 8.25 peratus berbanding tempoh sama pada 2020, menjadikan Indonesia import kedua terbesar Malaysia selepas China. — BERNAMA

Berkaitan ⇢