Leka Menyabung Ayam, 3 Termasuk Warga Emas Dicekup

|

views

SARIKEI – Sekumpulan lelaki bertempiaran lari selepas diserbu pihak polis ketika sedang leka menjalankan aktiviti sabung ayam di kawasan kebun Nanga Sempang Ulu Entabai, Julau, di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Julau, Deputi Superintendan (DSP) Andam Sulin berkata, dalam serbuan jam 3.30 petang itu, sepasukan pegawai dan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Julau berjaya menahan tiga suspek.

“Ketiga-tiga yang ditahan berusia dalam lingkungan 59 hingga 75 tahun,” katanya hari ini.

Ayam sabung yang masih hidup, alat penimbang dan sekeping papan tertulis jadual pertaruhan turut dirampas polis.
Ayam sabung yang masih hidup, alat penimbang dan sekeping papan tertulis jadual pertaruhan turut dirampas polis.

Beliau berkata, serbuan itu juga berjaya merampas dua ayam sabung yang masih hidup, dua bangkai ayam sabung, alat penimbang, sekeping papan tertulis jadual pertaruhan dan dua bilah taji.

“Kesemua tangkapan dan rampasan disiasat di bawah Seksyen 3(1) Ordinan Penganiayaan Binatang 1963,” ujarnya.

Andam berkata, orang ramai diingatkan agar tidak menjalankan kegiatan judi sabung ayam dan sentiasa mematuhi arahan penguatkuasa.

“Aktiviti seperti ini boleh menyebabkan orang ramai berkumpul dan secara tidak langsung meningkatkan penularan wabak COVID -19,” jelasnya.

Tegasnya, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti sabung ayam dan tindakan tegas akan diambil ke atas mereka. – Getaran, 27 November 2021

Berkaitan ⇢